Covid-19: 1,275 kes baharu, satu kematian

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,275 kes baharu positif Covid-19 dan satu kematian direkodkan sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 1,243 adalah kes tempatan manakala selebihnya 32 lagi merupakan kes import.

Beliau berkata, dalam tempoh itu juga, Kementerian Kesihatan (KKM) telah merekodkan sebanyak 1,509 kes sembuh dengan kes kumulatifnya 323,925 kes atau 95.4 peratus.

Katanya, kes aktif pula sebanyak 14,269 kes, dengan yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi 161 kes dan bantuan pernafasan 70 kes.

Seperti biasa, menurutnya, Selangor masih mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu 478 kes (37.5 peratus) dan dari jumlah itu, 389 kes atau 81.4 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Negeri kedua tertinggi ialah Sarawak sebanyak 213 kes dan diikuti Pulau Pinang (137 kes).

“Sebanyak 22 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI) membabitkan Kluster DTI Jalan Duta (13 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (lima), Kluster Tembok Taiping (dua), dan masing-masing satu kes Kluster Tembok Bukit Besi serta Kluster DTI Sepang 2.

“Kematian pada hari ini melibatkan satu kes warganegara di Selangor. Mangsa berumur 74 tahun meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh dan mengalami penyakit kencing manis, darah tinggi, dislipide mia, strok dan buah pinggang kronik,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mengenai kluster di negara ini sehingga hari ini, Dr. Noor Hisham berkata, jumlah semuanya 1,335 kluster, dengan 13 kluster baharu, manakala kluster yang telah tamat sebanyak 942.

Katanya, 14 kluster yang tamat hari ini ialah Kluster Jalan Cyber Sembilan, Kluster Jalan Bayam, Kluster Jalan Kelapa Mawar, Kluster Jalan DPB Tiga, Kluster Mediacity, Kluster Lorong Bersatu Damai, Kluster Bukit Angkasa.

Diikuti Kluster Jalan Cyber 14, Kluster Hikmah Muadzam, Kluster Simpang Tiga Muar, Kluster Jalan Mega Satu, Kluster Tapak Bina Jalan Setia, Kluster Tapak Bina Persiaran Mokhtar, dan Kluster Jalan Rumbia Dua.

Bagi kluster aktif pula berjumlah 393 dengan pertambahan kes baharu hari ini sebanyak 61 kluster melibatkan Kluster Tapak Bina Persiaran Freesia 50 kes dan Kluster Persiaran Cassia Selatan 33 kes. – MalaysiaGazette