Sediakan 'bekalan khas' vaksin golongan rentan

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

luqman.arif@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Peruntukan dos vaksin sebagai ‘bekalan khas’ perlu disediakan kepada golongan rentan, meskipun kadar pendaftaran bagi mendapatkan suntikan pelalian masih rendah.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun, menyifatkan keputusan kerajaan memasukkan kumpulan tambahan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sebagai bertepatan.

Katanya, pendekatan itu berupaya memastikan supaya program berkenaan dilaksanakan secepat mungkin, sekali gus menjadi pemangkin ke arah mewujudkan imuniti kelompok di Malaysia.

“Memang tidak sepatutnya tunggu untuk orang mendaftar mendapatkan vaksin kerana ia bakal mengundang kelewatan pelaksanaan program imunisasi.

“Bagaimanapun, keutamaan perlu diberi kepada golongan rentan dan penerima vaksin fasa kedua seperti diuar-uarkan kerajaan memandangkan mereka kumpulan berisiko.

“Oleh itu, sediakan dos penampan atau bekalan khas vaksin iaitu 50 peratus daripada jumlah pelalian yang masih tiada penerima bagi fasa kedua.

“Contohnya, dengan tiga juta dos bekalan pelalian, sebanyak 1.68 juta daripada 6.5 juta yang mendaftar menerusi MySejahtera ialah penerima sebenar fasa kedua manakala baki 50 peratus atau 660,000 dos vaksin disimpan sebagai bekalan khas,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, mengumumkan beberapa kumpulan penerima tambahan akan dimasukkan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa kedua yang bakal bermula bulan depan.

Keputusan yang antara lain bakal menyaksikan petugas barisan hadapan ekonomi dimasukkan dalam senarai penerima vaksin fasa kedua itu dibuat selepas kadar pendaftaran bagi mendapatkan suntikan pelalian masih rendah.

Kumpulan yang ditafsirkan sebagai petugas barisan hadapan ekonomi itu merangkumi pekerja di sektor pengeluaran, pembinaan, penerbangan serta minyak dan gas.

Turut bakal diberi keutamaan ialah penduduk di Johor kerana kebanyakan daerahnya ketika ini dikategorikan sebagai zon merah dan pekerja yang berulang-alik ke Singapura.

Menerusi penyediaan bekalan penampan dos vaksin, Dr Hanafiah berkata, golongan rentan yang baru didaftarkan menerusi libat urus di lapangan berupaya mendapat suntikan pelalian secepat mungkin, tanpa menunggu ketibaan bekalan seterusnya dari luar negara.

“Kita kena utamakan golongan rentan dan warga emas kerana mereka paling berisiko mendapat jangkitan serta kematian berikutan COVID-19,” katanya.

Berhubung bebas bergerak selepas diberikan vaksin, beliau berkata, keputusan seperti itu perlu dibuat berlandaskan bukti dan data kajian saintifik bagi mengelak penularan gelombang baharu COVID-19.

Walaupun mendapat suntikan vaksin, beliau khuatir individu sedemikian berkemungkinan menjadi pembawa wabak COVID-19 dan mencetuskan penularan kepada mereka yang belum mendapat pelalian.

“Buktikan dulu mereka tidak akan menjadi pembawa wabak, sebelum kita beri lebih banyak kebebasan termasuk pergerakan rentas negeri sekiranya sudah mendapat suntikan vaksin.

“Kita tidak mahu negeri atau zon hijau kembali bertukar merah disebabkan keputusan yang dibuat tanpa fakta atau bukti saintifik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd