Covid-19: 50 kluster aktif dikesan di Bangkok


Penularan jangkitan kluster aktif di Bangkok kebanyakannya membabitkan pasar segar, kem pekerja binaan dan kilang. (Gambar AP)

BANGKOK: Pihak berkuasa kesihatan Thailand mengesan dua lagi kluster baharu Covid-19 di Bangkok dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan kluster aktif di negara ini bertambah kepada 50 di 33 daerah.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata, dua kluster baharu itu ialah kem pekerja pembinaan di Bang Sue dan Ratchathewi.

Menurutnya pelbagai langkah sudah diambil untuk membendung penularan jangkitan kluster aktif di Bangkok, kebanyakannya membabitkan pasar segar, kem pekerja binaan dan kilang.

“Dalam tempoh 24 jam lalu, Bangkok mencatat 995 kes baharu Covid-19 dan 24 kematian,” katanya pada Khamis.

Selain Bangkok, Taweesin berkata pihak berkuasa kesihatan juga mengesan dua kluster baharu di wilayah Phetchaburi dan Chachoengsao.

Beliau berkata, jawatankuasa penyakit berjangkit wilayah akan memantau langkah pencegahan penyakit di kilang-kilang terutama yang menghasilkan bekalan perubatan.

“Menerusi strategi gelembung dan tutu, kilang-kilang dapat beroperasi semula … Strategi ini terbukti berkesan di Samut Sakhon (pusat wabak kedua),” katanya.

Sementara itu, Taweesin berkata Thailand mencatatkan 3,886 kes baharu dan 39 kematian dalam 24 jam lalu, menjadikan jumlah kes keseluruhan ialah 169,348 dan 1,146 kematian.

Menurutnya, daripada kes baharu itu, 3,837 adalah jangkitan tempatan termasuk 1,230 banduan dan 49 kes import.

Mengenai kematian baharu, beliau berkata 39 kematian membabitkan 20 lelaki dan 19 wanita berusia antara 36 dan 89 tahun, termasuk 24 di Bangkok, masing-masing dua di Nonthaburi dan Phuket.