Luiz tinggalkan Arsenal

LONDON: Arsenal mengesahkan pertahanan Brazil, David Luiz akan meninggalkan kelab berkenaan apabila kontraknya tamat manakala Martin Odegaard, Dani Ceballos dan Mat Ryan juga dijangka akan meninggalkan Stadium Emirates.

Luiz memilih tidak menerima tawaran Arsenal untuk tawaran kontrak baharu seterusnya menamatkan dua musim di kelab utara London itu.

Bekas pertahanan tengah Chelsea itu berdepan kesukaran bersama Gunners apabila bergelut untuk konsisten sebelum terlepas penamat musim kerana kecederaan.

Luiz, 34, membantu skuad kendalian Mikel Arteta menang Piala FA pada 2020 dan memberikan ucapan penuh emosi kepada rakan sepasukan sebelum perlawanan terakhir Liga Perdana.

“Jika pada satu ketika, saya melakukan sesuatu yang buruk kepada anda semua, saya minta maaf, tapi sebenarnya saya hanya mahu memberikan yang terbaik untuk anda semua,” kata Luiz.

“Saya sentiasa mahu membantu anda semua. Saya rasa anda faham bahawa saya adalah orang yang sentiasa bersama, jadi kegembiraan saya ialah melihat orang lain gembira. Jadi saya cuba yang terbaik.”

Penjaga gol Australia, Ryan melakukan tiga penampilan ketika dipinjamkan namun akan kembali ke Brighton.

Pasangan Real Madrid, Odegaard dan Ceballos akan kembali ke La Liga selepas tamat tempoh pinjaman. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd