Covid-19 hancurkan hasrat ke Mekah  – Utusan Digital

Covid-19 hancurkan hasrat ke Mekah  – Utusan Digital

KAHERAH: Selama 16 tahun Samia Ahmed menantikan peluang untuk mengerjakan ibadah haji di Mekah, namun, seperti jemaah lain hasrat itu terpaksa dilupakan seketika akibat pandemik Covid-19 yang belum berkesudahan. 

Dengan umur yang semakin meningkat, Samia, 68, tidak dapat menahan kesedihan apabila sekatan diumumkan oleh kerajaan Arab Saudi tahun lalu, sebulan selepas wabak melanda. 

“Saya sudah membayar kepada agensi pelancongan dan mula membuat persiapan. 

“Saya sangat teringin mengerjakan gaji sebelum mati. Saya tidak tahu sama ada masih hidup tahun depan,” kata penjawat awam yang sudah bersara itu. 

Menurut Samia, dia sudah membayar sebanyak AS$6,400 (RM26,900) untuk mengesahkan tempatnya ke Mekah. 

“Peluang saya semakin tipis kerana mereka akan memilih jemaah yang lebih muda dan sihat pada masa depan,” luahnya yang menderita penyakit diabetes dan darah tinggi. 

Tahun lalu, hanya seramai 10,000 penduduk di Arab Saudi dibenarkan menunaikan ibadah haji. 

Tahun ini, kerajaan Arab Saudi memberikan kebenaran kepada 60,000 jemaah yang berada di negara itu dan berumur antara 18 hingga 65 tahun mengerjakan haji.  

Individu yang terpilih mestilah sudah menerima suntikan vaksin dan tidak mengalami sebarang penyakit kronik. 

30 TAHUN SIMPAN HASRAT KE MEKAH  

Seorang pesara, Amina Gaafar, 58, berkata, dia sudah menyimpan hasrat selama 30 tahun untuk mengerjakan haji di Mekah. 

“Saya sudah bersedia daripada aspek kewangan tetapi wabak Covid-19 menghalang hasrat saya. 

“Saya bimbang satu hari nanti tidak dapat mengerjakan haji kerana keadaan kesihatan yang lemah,” ujarnya. 

Pemilik agensi pelancongan Kaherah, Mohammed Essam berkata, dua pertiga daripada jemaah yang membuat tempahan dengan syarikatnya berusia 60 tahun ke atas. 

Katanya, tahun ini ramai jemaah haji yang menzahirkan kesedihan, kekecewaan dan kemarahan akibat tidak dapat ke sana.  

“Kebanyakan jemaah haji dari seluruh dunia sudah berusia dan orang ramai mula berfikir tentang ibadah haji apabila mempunyai simpanan mencukupi,” jelasnya. 

KUMPUL WANG SEJAK SEKIAN LAMA 

Jemaah haji dari negara Asia popular seperti Malaysia, Indonesia dan Pakistan merupakan populasi terbesar yang menunaikan haji setiap tahun dan ramai individu terpaksa menunggu selama bertahun-tahun bagi mendapatkan giliran mengerjakan haji. 

Muhammad Saleem Butt, 73, dari bandar Rawalpindi, Pakistan, terpaksa menangguhkan rawatan penyakit hati kerana pandemik Covid-19. 

MUHAMMAD SALEEM BUTT

“Sepanjang hidup saya tidak pernah mempunyai wang mencukupi. Namun, beberapa tahun selepas itu, saya mempunyai sumber kewangan dan anak-anak sudah berkahwin. 

“Tetapi sekarang keadaan kesihatan saya sudah merosot dan doktor mengesyorkan pembedahan,” katanya. 

Seorang warga negara Indonesia, Jumina, 65, membuat simpanan demi menunaikan haji selama berdekad-dekad lamanya dengan menjalankan perniagaan kedai runcit di rumahnya. 

“Saya berasa kecewa kerana sudah melakukan persiapan untuk ke sana termasuk mengambil dua suntikan dos vaksin. 

“Sekiranya saya masih sihat, saya tetap akan pergi ke sana. Saya bergantung penuh kepada Tuhan,” jelasnya. -AFP 

 

 

Scroll to Top