Covis-19 meningkat, Auckland isytihar perintah berkurung

Wellington: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, mengarahkan perintah berkurung dilaksanakan di Auckland berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19.

Sekatan terbaru di Auckland yang berkuat kuasa untuk sekurang-kurangnya tujuh hari itu dilakukan kurang dua minggu selepas bandar berkenaan ditutup selama tiga hari.

Ardern berkata, kluster baharu jangkitan COVID-19 yang disahkan Sabtu lalu itu tidak dapat dikaitkan secara langsung dengan ujian positif kluster lain yang direkod dalam tempoh dua minggu lalu.

Mulai esok, 1.7 juta penduduk di bandar Auckland diarahkan kekal berada di rumah masing-masing kecuali untuk membeli barang keperluan dan bekerja.

Sekolah dan kedai menjual barang bukan keperluan penting akan ditutup manakala pergerakan keluar masuk ke bandar itu dilarang sama sekali.

Keseluruhan negara itu kini diletakkan pada tahap dua perintah sekatan dengan perhimpunan awam dihadkan.

Kata Ardern kes jangkitan baharu itu membimbangkan kerana membabitkan seseorang pesakit yang dijangkiti sejak seminggu lalu dan tidak dikuarantin.

Sejak wabak terbaru itu dikesan membabitkan tiga sekeluarga, beberapa orang melaporkan simptom COVID-19, semuanya dikaitkan dengan sebuah sekolah di Auckland Selatan.

Ardern mendakwa penularan jangkitan terbaru itu disebabkan mereka yang dijangkiti tidak membuat pengasingan diri, sekali gus mengakibatkan penularan jangkitan dalam masyarakat.

Dalam kes terbaru itu, orang yang dijangkiti dikatakan berjumpa doktor pada Jumaat lalu dan selepas itu pergi ke gimnasium.

Kata Ardern, perbuatannya itu sangat mengecewakan dan menegaskan pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan manakala orang yang mengalami gejala perlu bertanggungjawab dan tidak keluar.

“Kami sangat bertimbang rasa (melakukan penguatkuasaan) tetapi adakah ini mewujudkan persekitaran di mana orang ramai bersikap terbuka, jujur dan telus,” katanya.

New Zealand sebelum ini dipuji kerana berjaya mengawal penularan jangkitan COVID-19 dengan hanya 25 kematian direkodkan walaupun penduduknya mencecah lima juta orang.

Sumber – AFP

Malay News
World Desk

Scroll to Top