Twitter rancang tawar ‘Super Follows’

San Francisco: Twitter merancang untuk menawarkan perkhidmatan langganan yang bakal menyaksikan pengguna perlu membayar jika ingin melayari kandungan khas daripada akaun berprofil tinggi.

Percaturan terbaru gergasi media sosial itu ialah sebahagian daripada model ekonomi bagi mempelbagaikan pendapatannya.

Pengumuman mengenai perkhidmatan ‘Super Follows’ itu dibuat pada mesyuarat tahunan pelabur, seiring usaha giat Twitter menerokai sumber pendapatan baharu melangkaui sasaran pengiklanan.
“Penerokaan peluang pendanaan seperti ‘Super Follows’ akan membolehkan pencipta dan penerbit meraih sokongan secara langsung daripada pengikut mereka, selain mendorong mereka terus menghasilkan kandungan disukai ramai,” kata seorang jurucakap Twitter kepada AFP.

Eksekutif tertinggi Twitter difahamkan berbincang mengenai ‘Super Follows’, sekali gus menggariskan matlamat dan perancangan untuk masa terdekat, pada sesi pembentangan itu.

Pada sesi itu, ‘Super Follows’ digambarkan sebagai saluran untuk pengguna Twitter memberikan sokongan kewangan kepada pencipta kandungan, dengan menerima pulang berupa hebahan berita, kandungan eksklusif dan lencana maya.

Twitter yang ketika ini menjana wang menerusi pengiklanan dan paparan promosi, berkemungkinan mampu meraih pendapatan tambahan melalui transaksi ‘Super Follows’.

Setakat ini, tiada garis masa diperuntukkan berhubung pelaksanaan ‘Super Follows’, namun Twitter dijangka membuat pengumuman lanjut dalam tempoh beberapa bulan mendatang.

Sumber – AFP

Malay News
Technology Desk

Scroll to Top