Penyanyi muda kelahiran Sabah, Marygrace Jane Penserga, 24, diangkat menjadi peserta ‘Terpaling Fizz’ di Calpis Soda One in a Million (CSOIAM) minggu ketiga.
Menyampaikan lagu Memori Tercipta nyanyian asal Shila Amzah, Marygrace berjaya memukau barisan juri serta penonton dan sebagai ganjaran, dia bakal berduet dengan legenda rock Datuk Ramli Sarip di minggu keempat.

Namun begitu, nasib tidak menyebelahi dua peserta CSOIAM iaitu Dayangku Iffah dan Hafiz Zainal apabila mereka diumumkan sebagai peserta tersingkir untuk minggu ketiga malam tadi.

Keputusan adalah berdasarkan 60 peratus pemarkahan juri tetap iaitu Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain dan Cakra Khan termasuk juri jemputan minggu ketiga, Ernie Zakri bersama 40 peratus markah undian penonton CSOIAM.
Dalam pada itu, lapan peserta CSOIAM yang tinggal iaitu Marygrace, Eylia Guntabid, Mariam, Kai Deva, Zazzleen, Alya Mardien, Jimi dan Rezza Shah bakal bersaing di minggu keempat bertemakan Sinergi Muzik.

Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy menggalas tugas sebagai pengacara untuk program yang bersiaran selama lapan minggu ini manakala Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain dan Cakra Khan menggalas tugas selaku juri tetap.
Juara CSOIAM akan membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000, sebuah kereta bernilai RM200,000, serta kontrak rakaman eksklusif bersama Alternate Records & Talents selama dua tahun.
Teruskan menyaksikan Calpis Soda One In A Million secara langsung di TV3, setiap Ahad, jam 9.00 malam, atau strim secara HD di Tonton. Jangan lepaskan peluang untuk menonton program berprestij ini setiap minggu untuk peluang menangi hadiah berupa sebuah PEUGEOT Landtrek bernilai RM123,000 bagi mereka yang bertuah!
Jangan terlepas untuk merasai keterujaan sorotan eksklusif pengalaman peserta melalui Calpis Soda One In A Million: Fizz Journal, yang bersiaran setiap Khamis hingga Sabtu, jam 9.00 malam. Ikuti perkembangan terkini di media sosial @CalpisSodaOIAMTV3 dan gunakan hashtag #OIAM untuk berinteraksi mengenai program ini.




