am@hmetro.com.my
Kuching: Sarawak melaksanakan semua langkah perlu termasuk bersedia melakukan pembenihan awan bagi mengurangkan kesan cuaca panas dan kering ketika ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, semua agensi Persekutuan dan negeri yang berkaitan antaranya Jabatan Meteorologi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Bekalan Air Liar Bandar (JBALB) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah diarah membuat persediaan rapi untuk menghadapi sebarang situasi.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, agensi itu juga sudah mengaktifkan jawatankuasa masing-masing bagi memastikan kelancaran operasi.
“Pembenihan awan memang kita rancang untuk dilaksanakan jika keadaan memaksa, namun ia bukan mudah kerana bergantung kepada keadaan awan.
“Jika awan yang diperlukan untuk proses pembenihan itu tiada, sukar juga untuk melaksanakannya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JPBN Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di Petra Jaya, di sini, tadi.
Beliau berkata, berikutan cuaca panas dan kering yang melanda sejak lebih seminggu lalu beberapa kebakaran hutan berlaku di Sarawak dengan kejadian di Mukah paling menjejaskan kualiti udara di kawasan tengah Sarawak.
“Selain Mukah, saya juga menerima laporan kebakaran hutan berlaku di Marudi dalam Bahagian Miri dan di Kota Samarahan, namun semua kebakaran itu kini terkawal.
“Malah di Mukah keadaan bertambah baik hari ini apabila dimaklumkan hujan lebat berlaku di kawasan itu yang diharap akan membantu mempercepatkan operasi pemadaman yang kini dilakukan dengan helikopter bomba,” katanya.
Selain itu katanya, NREB juga diarah melakukan pengesanan awal menggunakan dron bagi mengenal pasti kawasan hutan yang terbakar.
“Pengesanan awal itu perlu bagi membolehkan tindakan segera diambil untuk mengelak kebakaran merebak ke kawasan yang luas, seperti di Mukah yang keseluruhannya membabitkan 56 hektar kawasan hutan terbakar.
“Setakat hari ini (semalam), sebanyak 220 tompok panas dikesan di Sarawak dan pemantauan rapi dijalankan untuk mengelak kebakaran lebih serius berlaku,” katanya.
Mengenai simpanan air di loji rawatan, Uggah berkata, sumber air masih terkawal kecuali di Loji Rawatan Air Gelugus di Lawas dalam Bahagian Limbang yang dilaporkan berada pada paras kritikal.
Berikutan itu katanya, masalah bekalan air berlaku di utara Sarawak dan JBPM menerima sebanyak 675 permohonan bantuan air minum untuk keperluan lebih 13,000 keluarga.
“Sebahagian besar permohonan untuk mendapatkan bekalan air minuman itu diterima di Miri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




