Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendedahkan identiti pemimpin UMNO yang didakwa tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan kepada negeri-negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN).

Menurut Akmal, Anwar selaku Perdana Menteri mempunyai kuasa dalam menentukan kelulusan peruntukan kerajaan. Justeru, beliau berpandangan keputusan berkaitan penyaluran bantuan tidak sepatutnya dikaitkan atau diletakkan kepada pihak lain.
“Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri Malaysia. Kuasa itu berada di tangan PMX (Anwar).
“Kalau PMX beritahu sahaja, terus perkara ini boleh disalurkan. Bukan di tangan Timbalan Perdana Menteri,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap dakwaan Anwar sebelum ini yang menyebut terdapat pemimpin UMNO mempersoalkan keputusan beliau meluluskan bantuan kepada negeri-negeri yang ditadbir pembangkang, termasuk Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Anwar sebelum ini menafikan pentadbirannya mengabaikan negeri-negeri pimpinan PN. Dalam masa sama, beliau mendakwa terdapat pemimpin UMNO yang pernah menyuarakan bantahan terhadap pemberian peruntukan kepada negeri berkenaan.

“Rakan-rakan saya di Kedah, Kelantan dan Terengganu, banyak tegur saya. Banyak rakan-rakan dalam Umno tegur.
“(Mereka dalam Umno berkata) ‘Anwar, ini dasar yang salah. Kenapa bantu?’
“Walaupun dia nampak bekerjasama di peringkat negeri, tetapi mereka tidak setuju saya luluskan bantuan untuk Kelantan, Terengganu dan sebagainya,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Akmal berkata dakwaan tersebut wajar disertakan dengan penjelasan lebih terperinci, terutama mengenai siapa pemimpin UMNO yang dikatakan menyuarakan bantahan itu.
Artikel lain: Pemuda UMNO Johor nasihat Akmal matang terima realiti politik, akui ‘penolakan’ itu biasa
Beliau berkata, jika benar terdapat pemimpin parti berkenaan yang menolak penyaluran peruntukan kepada negeri-negeri terbabit, identiti mereka perlu didedahkan kepada umum bagi mengelakkan kekeliruan.
“Cuba PMX beritahu siapa pemimpin Umno tersebut, kami pun nak tahu juga. Atau perlu tunggu tiga tahun lagi baru boleh beritahu?” tambahnya lagi.
Sumber: Facebook Akmal Saleh
