am@hmetro.com.my
Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kekhuatiran terhadap cubaan membunuh karakter atau ‘character assassination’ yang semakin berleluasa dengan niat untuk memberi persepsi negatif terhadap individu tertentu.
Dalam titah ucapan sempena Sambutan Tahun Baharu 2025, baginda bertitah, kebiasaannya, character assassination hanya berlaku di musim pilihan raya, namun kini baginda mendapati, ia digunakan untuk memusnahkan kepercayaan, seterusnya menjatuhkan individu tertentu.
“Beta ingin menasihati rakyat supaya bijak menilai dan mengkaji terlebih dahulu sebelum membuat prasangka dan percaya dengan fitnah-fitnah yang terhasil daripada cubaan untuk membunuh karakter ini.
“Sekiranya tidak dibendung, beta bimbang kelakuan seumpamanya boleh membawa kepada lebih banyak budaya hidup yang tidak baik dan menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Beta sarankan, sekiranya terdapat kritikan atau rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat, ia seharusnya disalurkan sebagai cadangan yang membina demi manfaat semua pihak,” titah baginda yang dimuatnaik di laman Facebook Selangor Royal Office, hari ini.
Menerusi titah itu, Sultan Selangor turut berkenan menyeru supaya sekalian rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik menanam azam baharu untuk lebih fokus kepada usaha membangun ekonomi dan bekerja lebih kuat demi memajukan negara dalam semua bidang.
“Beta tidak mahu ada pihak-pihak yang masih bertelagah, khususnya dalam kalangan pemimpin, komuniti perniagaan, penjawat awam yang tamakkan kuasa dan kemewahan.
“Beta sering perhatikan bahawa pertelagahan seumpama ini kerap menjadi punca kepada timbulnya fitnah-fitnah jahat dan adu domba serta penyebaran maklumat palsu khususnya di media sosial,” titah baginda lagi.
Dalam pada itu, sempena tahun baharu, Sultan Sharafuddin juga mahu rakyat sama-sama berazam membanteras gejala rasuah di semua peringkat dengan meningkatkan penguatkuasaan dan yang paling penting, mengutamakan integriti dalam nilai-nilai kehidupan harian.
Baginda mengingatkan bahawa sesebuah tamadun boleh runtuh hanya disebabkan oleh rasuah yang berleluasa dan tidak terkawal.
“Beta percaya, untuk menjadi sebuah negara yang maju, rakyatnya haruslah saling hormat menghormati, berfikiran positif dan bersatu padu.
“Jika masih kerap bertelagah, bukankah usaha-usaha untuk memajukan negara akan tergendala? Akibatnya, rakyat yang akan menanggung sengsara hanya kerana keangkuhan dan sifat pentingkan diri sendiri segelintir pihak,” titah baginda.
Sultan Selangor bertitah, sekiranya rakyat menggembleng usaha dan tenaga, mengukuhkan jati diri dan berazam untuk menyumbang sesuatu kepada kemajuan negara, baginda yakin Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih maju dan disegani pada 2025.
Sementara itu, baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2025 kepada seluruh rakyat Selangor khususnya, dan rakyat Malaysia amnya.
“Beta berharap 2025 akan membawa lebih banyak kemajuan dan kemakmuran kepada semua,” titah baginda.
© New Straits Times Press (M) Bhd




