Cubaan curi jip gagal, suspek dicekup 3 masih bebas

Cubaan curi jip gagal, suspek dicekup 3 masih bebas

rnoraina@hmetro.com.my

Gombak: Cubaan seorang lelaki melarikan kenderaan jip yang diparkir di hadapan sebuah rumah di Taman Sri Gombak di sini, tidak berhasil apabila berjaya dikesan pemilik sebelum ditahan polis tengah malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata, polis menerima laporan kejadian pada 1.11 pagi.

“Kejadian berlaku 12.01 tengah malam apabila pengadu iaitu lelaki berusia 55 tahun berada di rumah dimaklumkan oleh anaknya bahawa enjin jip jenis Mitsubishi Pajero yang diletakkan luar pagar rumah dihidupkan.

“Pengadu berjaya menangkap seorang lelaki 40 tahun dengan bantuan orang awam manakala tiga lagi suspek dipercayai melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abang Kaderi berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai masuk ke dalam kenderaan menggunakan alat menyerupai kunci bagi menghidupkan enjin.

Beliau berkata, polis kini giat mengesan tiga suspek yang dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Waja.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A/511 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil menyalurkannya dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Shamsul Samah di talian 016-5499952 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top