am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyeru penjawat awam menjaga integriti perkhidmatan bagi menjamin keyakinan rakyat terhadap sektor kerajaan.
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat, berkata pihaknya sentiasa memantau secara dekat integriti setiap penjawat awam bagi memastikan semua agensi atau jabatan berkaitan tidak terbabit dengan isu seperti rasuah dan penyelewengan.
Katanya, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk meluluskan kenaikan gaji serta bantuan khusus kepada pegawai perkhidmatan awam, justeru mereka seharusnya menjalankan tugas sebaiknya
“Mungkin kita mendengar banyak kelemahan yang ditimbulkan oleh individu mahupun agensi membabitkan perkhidmatan awam, oleh itu, isu sedemikian harus segera dibanteras selain berusaha meningkatkan produktiviti dan menjaga integriti.
“Selain itu, CUEPACS menasihati setiap ketua di perkhidmatan awam tidak begitu drastik mendedahkan perkara buruk seumpama ‘kudis’ di badan sendiri kepada umum, sebaiknya baiki dahulu kelemahan yang ada.
“Persepsi umum dengan apa yang berlaku adalah tidak sama, jadi kita perlu mengambil langkah yang lebib tertib bagi menjaga reputasi penjawat awam,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tiga Tahunan Kali ke-17 Kesatuan Kakitangan KADA Tahun 2024 di Auditorium Tan Sri Mohamed Yaacob Ibu Pejabat KADA, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Adnan berkata permohonan pemberian imbuhan atau bonus sekurang-kurangnya sebulan gaji kepada penjawat awam diharap dapat dianggap sebagai tanda kasih sayang kerajaan kepada golongan berkenaan.
“Semoga ada khabar gembira buat penjawat awam dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober depan selain berharap agar inisiatif sebegini dapat terus memberi semangat kepad mereka untuk terus cemerlang dan menjaga integriti bersama.
“Kami menyedari kami sudah dapat kenaikan gaji Disember lalu, kami juga menerima bantuan khas kerajaan (BKK) sebanyak dua kali sempena Hari Raya, selain tujuh peratus kenaikan gaji menjelang Januari tahun hadapan.
“Tetapi apa yang kami minta ini bukan satu kelaziman sebaliknya sebagai tanda ihsan kepada penjawat awam memandangkan kami sudah lebih 12 tahun tidak mendapat bonus,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




