Cukai jalan tamat tempoh, Lamborghini disita JPJ

Cukai jalan tamat tempoh, Lamborghini disita JPJ

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pemilik sebuah Lamborghini terkedu apabila kenderaan mewah yang dipandunya ditahan sebelum disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri ini, hari ini.

Menurut sumber, kenderaan mewah dipandu lelaki berusia 34 tahun ditahan anggota JPJ yang melakukan rondaan Op Luxury di sekitar bandar ini jam 11.35 pagi.

Katanya, ketika membuat rondaan di Jalan Kamaruddin menghala ke Gong Kapas, anggota terbabit terserempak dengan Lamborghini berkenaan.

“Anggota terpaksa mengekori kenderaan terbabit sejauh hampir satu kilometer apabila pemandu enggan memberhentikan kenderaan walaupun sudah diarah anggota menerusi pembesar suara.

“Ketika sampai di Kampung Gong Kapas, kenderaan terbabit dilihat memperlahankan kenderaan seakan mahu berhenti.

“Namun sebaliknya, apabila anggota memperlahankan kenderaan, lelaki terbabit memecut kenderaan menghala ke Jalan Sultan Mohamad sebelum berjaya ditahan,” katanya.

Kata sumber, selepas kenderaan berkenaan berjaya ditahan, anggota terus mengarahkan lelaki terbabit membawa kenderaan itu ke pejabat JPJ untuk pemeriksaan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit memiliki cukai jalan yang sudah tamat tempoh iaitu pada Mei lalu.

Katanya, lesalahan lain dikesan ialah perlindungan insurans tamat tempoh dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan.

Sementara itu, Pengarah JPJ, Mohd Zamri Samion ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Katanya, kenderaan mewah terbabit kini disita di Depoh Sita JPJ negeri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top