syafiq.aznan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Tiga kali dihimpit dengan kecederaan ‘pembunuh karier’ iaitu kecederaan di ligamen ‘anterior cruciate’ (ACL), Azalinullah Alias mengharapkan mimpi ngeri itu tidak berulang lagi musim ini.
Pemain tengah Terengganu FC (TFC) itu jelas mahu bebas daripada kecederaan bagi mendapatkan kembali momentum dan memperagakan aksi terbaik di Liga Malaysia (Liga M).
Kecederaan lampau sememangnya cukup perit buat pemain berusia 26 tahun itu sekali gus dia tidak dapat membayangkan sekiranya kecederaan itu kembali menghantui pada musim ini.
“Selain saya ingin merebut tempat dalam pasukan, perkara yang turut jadi keutamaan adalah saya tidak mahu cedera teruk seperti itu lagi.
“Cukuplah tiga kali saya berdepan ACL dan kalau kena lagi, memang rugi apabila satu musim tidak dapat bermain,” katanya.
Bagaimanapun, di sebalik kesukaran untuk kembali cergas dalam masa yang singkat, dia tetap optimis prestasinya akan kembali pulih sekiranya terus diberi peluang untuk beraksi sebaik sahaja sepak mula pada 4 Mac ini.
“Saya memang sudah mula berlatih sejak Piala Malaysia pada musim lalu, cuma tidak diberi peluang lagi untuk beraksi.
“Jadi, dari situ saya cuba untuk mendapatkan kembali kecergasan yang terbaik selepas tidak bermain selama satu musim,” katanya.
Sebagai rekod, dia berdepan kecederaan ACL pertama ketika bersama Harimau Muda C pada 2015 sebelum kecederaan sama berulang pada 2019 dan 2021.
© New Straits Times Press (M) Bhd



