SHAH ALAM – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menyindir pihak yang telah memutuskan hubungan dengan sekutu politiknya tetapi pada masa yang sama masih mahu kekal berada dalam ‘rumah’ yang sama.
Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak secara khusus, sindiran itu dipercayai ditujukan kepada Pas yang sebelum ini mengumumkan penghentian kerjasama politik dengan Bersatu tetapi masih mahu berada di bawah Perikatan Nasional (PN).
Ahmad Faizal atau lebih dikenali sebagai Peja dalam hantaran di Facebook menggunakan loghat Perak berkata, tindakan memutuskan hubungan dengan sekutu lama tidak seharusnya disusuli dengan tuntutan untuk terus berada di bawah payung sedia ada.
“Dah jatuh talak, rumah tu? Macam mana gayanya? Kome (kamu) nak rumah tu? Bior benor (betul)? Sumpah kome (kamu) tak malu? Cer (cuba) cakap bebenor (betul-betul)…
“Kejap. Teman (saya) nak tutup muka teman yang tak lawa ni. Walaupun tak lawa, teman tahu malu,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.
Pada Jumaat, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, dilaporkan berkata Pas sepatutnya meninggalkan PN dan membentuk gabungan baharu menggunakan logo serta penjenamaan sendiri.
Beliau mendakwa Pas tidak pernah komited sepenuhnya kepada PN, selain parti itu juga terlibat dalam rundingan politik di luar gabungan berkenaan.
Katanya, Pas berkali-kali menyatakan hasrat untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional bersama UMNO.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal turut membidas Pas yang didakwanya terlalu taasub dengan ‘kekasih baharu’ sehingga mula mencari kelemahan sekutu lama.
“Bila kome dah buat perangai dengan ‘perempuan lain’, kome mula le (lah) cari salah silap ‘orang rumah’ kome. Kome dah taasub dengan kekasih baharu, kentut pun kome bau wangi,” sindirnya.
Beliau berkata, sekiranya hubungan tidak lagi dapat diteruskan, perkara itu sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu.
Menurut Ahmad Faizal, sebarang keputusan besar juga tidak sewajarnya dibuat secara mengejut.
“Kalau kome dah tak gemor pun kat orang rumah kome tu, kome ‘slow talk’ (berbincang) lah dulu. Kome labun (beritahu) le lebih kurang dulu.
“Jangan le lepas makan tengah hari sama-sama, tup tup tak ada ribut, tak ada angin, kome jatuh talak,” katanya.
Ahmad Faizal turut membangkitkan soal pihak yang didakwa mahu menggunakan nama baharu dan mengingatkan bahawa sebarang nama baharu perlu didaftarkan terlebih dahulu sebelum digunakan.
“Kekasih baharu, katanya nak tukor (tukar) nama. Bakal suami bagi nama baharu. Elok le tu. Elok pakat membawa berkat.
“Tapi kalau nak pakai nama baharu, kome kena beringat… jangan lupa daftar dulu,” perlinya lagi.



