Pembangunan rancak perlu seimbang elak jurang sosioekonomi- PM

Pembangunan rancak perlu seimbang elak jurang sosioekonomi- PM

am@hmetro.com.com.my

Kepala Batas: Malaysia tidak menghalang pembangunan yang rancak tetapi perlu diseimbangkan supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat sama ada golongan berpendapatan sederhana atau rendah bagi mengelak jurang sosioekonomi menjadi semakin tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata setiap projek pembangunan yang diluluskan termasuk yang membabitkan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga perlu menyediakan ruang dan peluang kepada golongan berpendapatan sederhana serta pertengahan.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan jurang pendapatan terus melebar dan memastikan hasil pertumbuhan ekonomi serta pelaburan dapat dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi.

“Jika tidak, kita akan lihat negara kita menyaksikan kesenjangan yang kian melebar, dan ruang bagi rakyat di bawah ini kian sempit.

“Pembangunan memacu tinggi, kita hebahkan tentang pertumbuhan yang segar, pelaburan yang meningkat, tetapi tak sampai ke peringkat bawah.

“Jadi, dalam badan atau syarikat milik kerajaan, seperti Khazanah keseluruhannya atau PNB, KWSP, itu saya tekankan tanpa tolak ansur yang mana sebagai perancang harus memikir pembangunan ini lebih merata,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Setia Fontaines Industrial Park di Setia Experience Centre, Bandar Setia Fontaines, di sini, hari ini.

Setia Fontaines Industrial Park adalah projek pembangunan hab ekonomi generasi dengan infrastruktur bertaraf dunia untuk pembuatan termaju, infrastruktur digital dan industri teknologi tinggi di Wilayah Utara.

Anwar berkata, strategi pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pulau Pinang dengan Kerajaan Persekutuan bertujuan memastikan pembangunan tidak hanya tertumpu di kawasan tertentu, sebaliknya diagihkan secara lebih menyeluruh.

“Pembangunan di kawasan Setia Fontaines merangkumi dua aspek utama iaitu pembangunan industri berteknologi tinggi dan penyediaan kemudahan perumahan yang mencukupi serta persekitaran kehidupan yang lebih baik.

“Kita mahu pembangunan yang lebih rancak, tetapi pada masa yang sama perlu memastikan ia lebih seimbang yang ini adalah satu cabaran,” katanya.

Anwar berkata, pembangunan taman perindustrian berkenaan itu juga dijangka mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik, khususnya dalam sektor teknologi tinggi.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Bhd Datuk Zaini Yusoff, berkata taman perindustrian seluas hampir 206 hektar itu sebahagian daripada pembangunan Setia Fontaines berkeluasan 684.3 hektar dengan menawarkan lot perindustrian ringan, perindustrian sederhana dan komersial untuk pelbagai jenis perniagaan, daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hingga ke syarikat multinasional.

Beliau berkata, lokasinya yang strategik menyediakan ketersambungan kukuh ke Pulau Pinang, Bukit Mertajam, Seberang Jaya dan Kulim, dengan akses terus ke Lebuhraya Utara-Selatan.

“Daripada PKS hingga ke syarikat multinasional, pembangunan ini membuka peluang untuk perniagaan berkembang dalam ekosistem lestari yang bersedia untuk masa hadapan, sekali gus menegaskan komitmen Setia dalam memacu kemajuan yang bernilai tinggi dan inklusif,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top