Dah pindah ke luar negara? Sharifah Sakinah tak mahu komen lokasi terkini

Tindakan pelakon, Sharifah Sakinah berkongsi sebuah video senaman di laman Instagram dengan berlatarbelakangkan persekitaran luar negara mengundang persoalan dalam kalangan netizen.

Menerusi posting tersebut, pelakon berusia 32 tahun dilihat bersama tunangnya yang juga warga Sweden, Michael Hansen sedang melakukan aktiviti bersenam.

Bagaimanapun, menerusi laporan Kosmo! Online, pelakon drama Aku Yang Kau Gelar Isteri tidak mahu mengulas lanjut dan hanya membalas “Hehehe. Tak kot,” ketika dihubungi portal berkenaan.

Apabila diminta komen daripada kakaknya Sharifah Shahirah, penyampai radio itu berkata dia tidak mengetahui sekiranya Sakinah berada di luar negara.

“Cuba tanya Sakinah sendiri. Dia di sana kita tak tahu. Kita di Kuala Lumpur jaga anak-anak dan tak sempat nak jaga Sakinah.
“Susah sangat artis antarabangsa. Tolong tanyakan dia kat mana. Kami tengok dekat Instagram sahaja,” katanya.

Malah tambah Shahira atau lebih mesra dipanggil Shiera, adiknya itu sudah cukup dewasa dan tahu menjaga diri di mana sahaja pelakon tersebut berada.

Sebelum ini, Sakinah berkongsi mengenai masalah penyakit Attention-Deficit Hyperactivity Disorder atau ADHD dialaminya dalam program Hard To Heart yang dihoskan Datuk Aznil Nawawi.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu meluahkan, dia nekad untuk berhijrah ke luar negara bagi meneruskan rawatan masalah kesihatan mental berkenaan.

Sumber: Instagram Sharifah Sakinah , Kosmo! Online (Mohammad Shahemy Azmi)