Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa pihak berkuasa membuka siasatan terhadap dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada parti itu untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata percanggahan antara dakwaan Abdul Hadi dan penafian Kedutaan AS menunjukkan perkara berkenaan serius dan perlu disiasat bagi menentukan kesahihannya.
“Satu pihak berkemungkinan berbohong dan ini harus disiasat oleh pihak berkuasa.
“Apabila pendedahan ini dibuat, kita desak pihak berkuasa memulakan siasatan untuk melihat semula sama ada benar dakwaan dibangkitkan,” katanya, hari ini.

Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata, sekiranya dakwaan Abdul Hadi itu benar, tindakan segera perlu diambil kerana ia membabitkan dakwaan cubaan menggunakan kuasa asing untuk meruntuhkan kerajaan serta sistem demokrasi berparlimen negara.
“Kalau benar, maka harus ada tindakan segera diambil kerana kita tidak boleh izinkan mana-mana pihak yang cuba menggunakan kuasa luar secara langsung untuk meruntuhkan sistem.
“Cubaan untuk meruntuhkan kerajaan adalah satu kesalahan serius yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya lagi.
Semalam, Abdul Hadi membuat dakwaan berhubung tawaran oleh wakil AS itu ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar PAS Ke-72 di Kota Bharu.
Abdul Hadi dilaporkan berkata tawaran berkenaan dibuat ketika lawatan Presiden AS ketika itu, Barack Obama ke Malaysia, apabila beberapa pemimpin PAS diundang menghadiri satu majlis di Kedutaan AS.

Menurutnya, perkara itu berlaku ketika PAS masih menjadi sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat, iaitu antara April 2008 hingga Jun 2015.
Bagaimanapun, Ketua Misi Kedutaan AS di Kuala Lumpur, David H Gamble Jr, dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sosial hari ini, menafikan dakwaan terbabit.
Sumber: BH Online
