am@hmetro.com.my
Kuching: Seramai 6,266 kanak-kanak direkodkan memerlukan bantuan pemeliharaan dan perlindungan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, manakala 10,904 sepanjang 2025.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkembangan itu menunjukkan usaha memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak perlu dilaksanakan secara bersepadu dan berterusan.
Katanya, usaha itu memerlukan pembabitan semua pihak termasuk komuniti bagi memastikan kanak-kanak yang berisiko dapat dikenal pasti dan dibantu lebih awal.
“Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) perlu terus memainkan peranan sebagai mata dan telinga komuniti dengan mengenal pasti kanak-kanak berisiko, menyalurkan maklumat segera serta memperkukuh usaha advokasi dan pencegahan.
“Program advokasi juga perlu diperluaskan ke kawasan berisiko tinggi termasuk Program Perumahan Rakyat (PPR), kawasan estet, perkampungan Orang Asli, pedalaman dan lokaliti yang memerlukan perhatian khusus,” katanya ketika merasmikan Simposium PPKK Kebangsaan 2026 bertemakan ‘Melakar Perlindungan Inklusif Menuju Generasi Sejahtera’ di sini, malam ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
Nancy berkata, bagi tempoh 2024 hingga 2026, seramai 1,225 anggota daripada 141 PPKK dan 1,174 anggota daripada 138 Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) dilantik bagi memperkukuh jaringan perlindungan dan kebajikan kanak-kanak di peringkat komuniti.
Katanya, JKM turut melaksanakan projek rintis membabitkan 15 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) sebagai Hab Perkhidmatan Kanak-Kanak atau One Stop Center menerusi Dasar Baharu 2026.
“Inisiatif ini berkonsepkan satu PAKK satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi setiap negeri untuk memberi manfaat kepada kanak-kanak dalam komuniti setempat,” katanya.
Nancy berkata sebanyak 3,419 program dan aktiviti dilaksanakan melalui kerjasama PPKK, PAKK, agensi kerajaan serta rakan strategik sepanjang tahun lalu.
Katanya, program berkenaan memberi manfaat kepada 107,953 kanak-kanak, manakala 1,580 program dilaksanakan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini dengan memberi manfaat kepada 29,754 kanak-kanak.
“Perlindungan kanak-kanak bukan hanya tanggungjawab ibu bapa atau kerajaan, sebaliknya memerlukan komitmen dan penglibatan seluruh masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
