'Dakwaan tiada peruntukan tidak berasas, rakyat boleh nilai sendiri' – Mohd Jafni

'Dakwaan tiada peruntukan tidak berasas, rakyat boleh nilai sendiri' – Mohd Jafni

am@hmetro.com.my

Kulai : Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menyifatkan dakwaan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) di Johor tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri sebagai tidak berasas dan bercanggah dengan fakta.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai itu berkata, kenyataan sedemikian amat menghairankan kerana individu yang membuat dakwaan berkenaan bukanlah orang baharu dalam politik dan mengetahui proses pentadbiran serta bantuan yang disalurkan kerajaan negeri.

“Saya dengar ada yang berceramah kononnya ADUN PH di Johor tidak mendapat apa-apa daripada kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Saya tertanya-tanya sama ada dia tidak tahu atau buat-buat tidak tahu. Selama empat tahun ini mereka hadir mesyuarat, membuat permohonan, berurusan dengan kerajaan dan mengetahui apa yang berlaku,” katanya menerusi perkongsian video di Facebooknya.

Beliau berkata, setiap ADUN pembangkang menerima peruntukan sebanyak RM200,000 setahun selain turut menghadiri pelbagai mesyuarat rasmi kerajaan negeri yang membincangkan pembangunan dan kebajikan rakyat.

Menurutnya, pelbagai permohonan yang dikemukakan wakil rakyat pembangkang juga sudah diluluskan dan kerajaan negeri sentiasa mengamalkan pendekatan profesional serta matang dalam soal pentadbiran tanpa mengira fahaman politik.

“Peruntukan RM200,000 setahun itu duit siapa? Mesyuarat Majlis Tindakan DUN (MTD) dan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) yang mereka hadiri itu mesyuarat siapa?

“Banyak permohonan yang dihantar selama ini juga telah diluluskan. Kita profesional dan matang dalam pentadbiran apabila melibatkan rakyat dan Bangsa Johor,” katanya.

Mohd Jafni turut menyindir tindakan pihak tertentu yang didakwanya sering menghadiri mesyuarat serta memohon bantuan kerajaan, namun mendakwa sebaliknya apabila tiba musim pilihan raya.

Katanya, keadaan menjadi lebih mengelirukan apabila kenyataan asal berhubung isu peruntukan itu kemudiannya ditarik balik dan penjelasan baharu diberikan selepas menerima kritikan daripada pelbagai pihak.

“Mula-mula kata tidak dapat apa-apa, kemudian selepas dipersoalkan ramai pihak, kenyataan ditarik semula dan penjelasan pula berubah. Jadi yang mana satu rakyat hendak percaya?” katanya.

Beliau berkata, rakyat Johor kini lebih matang dalam menilai fakta dan mampu membezakan antara pihak yang benar-benar bekerja untuk rakyat dengan pihak yang hanya mencari modal kempen politik.

Terdahulu, Arthur Chiong Sen Sern yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Batu memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang mendakwa tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri tahun ini.

Calon PH bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 11 Julai ini mengakui melakukan kesilapan ketika berucap pada Program Pelancaran Jentera DUN Bukit Batu di Taman Putri, di sini Sabtu lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top