Dalam tempoh tiga bulan! Dasar BDR penjawat awam berjaya jimatkan subsidi petrol RM7.3 juta

Dalam tempoh tiga bulan! Dasar BDR penjawat awam berjaya jimatkan subsidi petrol RM7.3 juta

Pelaksanaan inisiatif Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi penjawat awam sejak pertengahan April lalu berjaya menjimatkan peruntukan subsidi petrol kerajaan sebanyak RM7.3 juta, selain mengurangkan penggunaan bahan api lebih empat juta liter.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, sebanyak RM7,309,084 berjaya dijimatkan setakat hari ini hasil pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Menurutnya, penggunaan bahan api turut berkurang sebanyak 4,046,448 liter dalam tempoh tiga bulan pelaksanaan BDR di seluruh negara.

Beliau berkata, seramai 659,000 penjawat awam secara kumulatif telah memanfaatkan inisiatif itu yang pada awalnya diperkenalkan sebagai langkah menangani krisis bekalan tenaga global.

Susulan keberkesanan pelaksanaan BDR, kerajaan bersetuju memperkemas dasar berkenaan menerusi pengenalan Hari Bekerja Hibrid (HBH) yang akan bermula 1 Ogos ini.

“Menerusi HBH, formula fleksibiliti yang jelas ditetapkan iaitu penjawat awam diwajibkan bertugas di pejabat selama tiga hari dan bekerja secara hibrid dari rumah atau lokasi alternatif selama dua hari dalam seminggu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Pensijilan UNGGUL Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) serta Apresiasi Institut Integriti Malaysia (IIM), hari ini.

Bagaimanapun, Shamsul Azri menjelaskan kelonggaran HBH tidak diberikan pada hari bekerja yang bersambung dengan cuti hujung minggu bagi mengelakkan penyalahgunaan kemudahan itu untuk mendapatkan cuti panjang.

“Sebagai contoh, jika penjawat awam bercuti pada Sabtu dan Ahad, mereka tidak dibenarkan memilih hari Isnin dan Jumaat sebagai hari bekerja hibrid,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Azri yang juga Pengerusi IIM berkata, sebanyak 37 organisasi sektor awam membabitkan kementerian dan agensi kerajaan telah menerima Pensijilan UNGGUL SPINE setakat ini.

Katanya, pengiktirafan itu membuktikan komitmen organisasi berkenaan dalam memperkukuh budaya integriti, tadbir urus serta usaha membanteras rasuah dalam perkhidmatan awam.

Sumber: BERNAMA

Scroll to Top