redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Usaha tidak mengkhianati hasil dan terbukti selepas Muhammad Aqil Farhan Azri menyumbang pingat emas buat negara dalam penyertaan sulungnya di pentas Kejohanan Bina Badan Asia Tenggara ke-20 dekat Yangon, Myanmar, baru-baru ini.
Lebih membanggakan, Muhammad Aqil Farhan atau mesra disapa Aqil meraih kejuaraan itu dalam usia 19 tahun dan menewaskan empat pesaing lain termasuk wakil tuan rumah bagi kategori Remaja bawah 21 tahun.
Berkongsi kisahnya, Aqil gembira dan bersyukur dengan kemenangan itu walaupun tidak menyangka menjadi pilihan juri untuk dinobatkan sebagai juara dalam kategori berkenaan.
Katanya, kejayaan itu tidak mungkin dicapai tanpa sokongan keluarga terutama ibu bapanya, jurulatih, Abu Mansur Al Mathuridi Azahari, 35, atau dikenali Mansur Tropin dan Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) atas kepercayaan serta peluang diberikan untuk mewakili negara.
“Ini kali pertama saya beraksi di luar negara dan memang gementar kerana ramai pesaing yang hebat. Tapi saya cuba buat yang terbaik seperti mana yang diajar jurulatih dan rezeki saya apabila bawa pulang kejuaraan.
“Macam tak percaya dan bermimpi waktu nama diumumkan. Apa pun, saya bersyukur sangat dan anggap kemenangan ini sebagai pembakar semangat untuk meraih lebih banyak kejayaan,” katanya kepada Harian Metro.
Bercerita lanjut, Aqil berkata, dia mula aktif dalam bidang kecergasan sejak berusia 14 tahun dan seorang yang bertubuh ‘keding’ satu ketika dulu.
Katanya, minat mendorongnya untuk terus aktif walaupun keluarga tidak begitu memberi galakan pada awalnya.
“Minat itu tercetus kerana pengaruh media sosial dan permulaannya, saya berlatih sendiri serta tanya dengan rakan yang aktif kecergasan di pusat gimnasium.
“Tapi sejak Jun tahun lalu, saya mula berlatih di bawah jurulatih dan syukur kerana banyak dapat tunjuk ajar hingga dapat bertanding buat kali pertama dalam kejohanan Mr Awang Nelang sempena Terengganu International Bikeweek 2025 pada Julai tahun lalu.
“Dalam kejohanan itu, saya dapat tempat ketiga bagi kategori pemula dan ketujuh dalam kategori bakat baru.
“September tahun lalu, saya turut serta pula dalam Kejohanan Bina Badan Peringkat Kebangsaan kali ke-54 dan memenangi serta merangkul pingat emas di kategori remaja bawah 21 tahun di Kejohanan Mr Malaysia 2025,” katanya.
Aqil berkata, dia akan terus berlatih dan memperbaiki prestasi diri selain membuat persediaan menyertai Kejohanan Bina Badan Asia ke-58 di Bangkok, Thailand bermula 22 hingga 28 September depan.
“Latihan berterusan kerana saya atlet sepenuh masa di bawah pasukan Fex Nutrition dan turut mengunakan makanan tambahan keluarannya sebagai persiapan sebelum menyertai kejohanan.
“Jauh lagi perjalanan saya namun berharap dapat menjadi inspirasi kepada remaja di luar sana untuk mengamalkan melakukan gaya hidup sihat dan bersenam.
“Mana yang berminat boleh ikut sama buat latihan kecergasan dengan saya yang kini berlatih di Fex Gym yang terletak di Pantai Batu Buruk,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Bina Badan Negara, Othman Yahya mengakui, Aqil mampu membawa cabaran negara ke peringkat seterusnya dan bakal menjadi pelapis atlet negara di masa hadapan kerana usianya yang masih muda.
© New Straits Times Press (M) Bhd




