harisfadli@hmetro.com.my
Shah Alam: “Kami datang untuk segulung ijazah, bukan pulang sekujur tubuh kaku,” kata pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang juga antara saksi kejadian membabitkan Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi.
Dia yang enggan nama disiarkan berkata, dia dan rakan sepasukan lain berdukacita dengan pemergian Allahyarham walaupun hanya mengenalinya baru hampir dua bulan.
“Latihan itu dilakukan di luar jadual kerana latihan sepatutnya belum bermula (untuk semester ini), tetapi kami terima arahan berkumpul kira-kira 3 petang (hari kejadian).
“Sebelum ini pun kami pernah berlatih di luar waktu jadual, tetapi atas inisiatif kami sendiri contohnya berjoging.
“Tetapi kali ini jurulatih yang panggil, jadi kami hanya mengikut arahan,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui semalam.
Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi meninggal dunia pada 13 November lalu ketika menjalani latihan Palapes.
Polis mengklasifikasikan kematian pegawai Palapes itu sebagai mati mengejut (SDR) berpunca daripada strok haba dengan kegagalan pelbagai organ.
Bagaimanapun, keluarga Allahyarham berharap siasatan telus dan komprehensif dijalankan dengan mendakwa mangsa dibiarkan terbaring di padang kawad tanpa bantuan kira-kira 30 minit sebelum dibawa ke hospital.
Rakan Allahyarham itu berkata, selepas mangsa pitam, dia dan beberapa rakan yang berada berhampiran memapahnya ke kawasan lebih redup.
Katanya, pada hari kejadian cuaca agak panas dan kejadian pitam ketika latihan pernah terjadi sebelum ini membabitkan pelatih lain tambahan pula Allahyarham masih baru dalam Palapes.
“Ketika itu saya beranggapan mungkin dia hanya pitam kerana tidak tahan latihan sebab arwah masih baru, saya rasa sebulan lebih arwah menyertai Palapes.
“Kami membawa dia ke kawasan lebih redup ketika itu dapat rasakan tubuhnya seperti kejang dan kira-kira selepas 20 minit macam itu dia dibawa ke hospital oleh jurulatih,” katanya.
Menurutnya, secara lazim akan ada pasukan perubatan bersama ambulans yang bersedia setiap kali sesi latihan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
Bagaimanapun, katanya, tiada pasukan perubatan mahupun ambulans berada di padang kawad pada hari kejadian.
Katanya, dia dan beberapa rakan pelatih sudah memberi keterangan berhubung kejadian itu kepada polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu siasatan.
“Bagi saya perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan saya percaya jika semua pihak mengikut garis panduan, kejadian ini boleh dielakkan.
“Tetapi benda sudah jadi begini, saya doakan yang terbaik untuk arwah dan semoga keluarganya tabah menghadapi dugaan ini.
“Saya harap polis akan melakukan yang terbaik untuk menyiasat perkara ini secara menyeluruh,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




