Daya penuh ‘energi’

Kuala Lumpur: Ketika mula bertapak dalam industri muzik pada 2016, Daya masih terlalu lurus mengenai kerjayanya sebagai penyanyi. Ledakan namanya tentu satu detik yang indah, namun belum cukup untuk difahaminya.

Bagaimanapun, Daya atau nama sebenarnya Grace Martine Tandon, 23, kini mengakui sudah menemui tenaga baharu dalam dirinya sebagai anak seni. Tenaga itu tidak lain keberaniannya menonjolkan siapa dirinya yang sebenar.

Bagi Daya, jiwanya kini lebih bebas apabila berjaya meraih keyakinan diri selepas hanya dipendam sebelum ini. Penyanyi lagu Don’t Let Me Down ini tidak kisah pun mengambil masa untuk menyedari kepentingan perkara itu.

“Saya terlalu muda dan baru berusia 16 tahun ketika nama saya mula popular. Saya tidak tahu apa yang saya mahukan baik untuk peribadi mahupun muzik. Saya tidak pasti apa hala tuju saya.

“Saya terperangkap dalam situasi yang tidak menyenangkan kerana tidak ada kuasa mengawal kerjaya saya. Bagaimanapun, saya perlahan-lahan belajar untuk membina keyakinan diri serta membuang rasa ragu-ragu.

“Kemudian, semakin hari saya semakin belajar untuk lebih mengenali diri secara mendalam dan apa kemahuan saya. Sebagai artis, saya mahu memastikan diri tahu apa yang terbaik dan bertuah rasanya dapat belajar sendiri hal itu walaupun mengambil masa,” katanya. Perkara yang paling membuka mata Daya adalah usaha untuk menunjukkan keaslian diri tanpa perlu rasa takut.

Baginya, setiap manusia diciptakan dengan keunikan sendiri, sekali gus membawa kepelbagaian dalam masyarakat.

Justeru, dia ingin menekankan elemen itu pada dirinya dalam misi menyalurkan inspirasi kepada orang ramai. Daya percaya, seseorang tidak sepatutnya terkesan dengan kata-kata orang lain mengenai dirinya.

“Jangan pernah ambil kisah dengan apa orang lain cakap mengenai kita. Apatah lagi, sekiranya apa yang mereka katakan itu sebenarnya bertentangan dengan fikiran orang lain terhadap diri kita.

“Saya rasa adalah sangat penting untuk kita jujur menjadi diri sendiri. Kalau tak, tidak akan wujud kepelbagaian dalam dunia ini kerana kita berhak untuk menunjukkan keunikan diri serta dikongsi kepada dunia.

“Saya berharap setiap orang tidak akan pernah putus asa untuk mengikut kata hati serta kemahuan diri mereka. Tolak tepi segala kata-kata menjatuhkan ataupun label diberi orang lain yang tidak penting terhadap diri kita,” katanya.

Berbekalkan tenaga baru itu juga tercetus idea untuk Daya tampil dengan lagu baharunya berjudul Bad Girl. Ternyata, karya terbaharunya itu semakin matang dan sarat dengan mesej kuat jika dibandingkan karya sebelum ini.

Lebih manis, lagu terbabit turut mendapat sentuhan komposer bukan calang-calang iaitu bintang pop, Charlie Puth. Dia mengakui proses pembikinannya sangat menyeronokkan dan bertuah mendapat bantuan komposer terbaik.

“Pengalamannya sangat luar biasa di mana kami mendapat melodinya serta liriknya disiapkan begitu pantas. Saya sebenarnya memang sudah mengimpikan konsep lagu sebegini sekian lama.

“Saya sangat gembira hasilnya menjadi dan dapat berasakan wujud tenaga serta aura baharu dalam kerjasama kami. Pembikinannya berjaya membawa saya ke suatu dimensi berbeza dan memang seperti saya impikan,” katanya. Menyentuh mengenai muzik video Bad Girl pula, cukup menarik apabila Daya tampil

dengan konsep glamor Hollywood era lama. Sekali gus, aura lagu itu lebih terasa dengan sinematografi hebat hasil sentuhan Clyde Munroe.

Secara keseluruhan, muzik video itu seakan menggambarkan sebuah kegelapan yang memiliki mesej tersirat. Menurutnya, dia ingin menyampaikan mesej pemerkasaan wanita sebagai intipati penting dalam video terbabit.

“Kebelakangan ini, saya sangat tertarik untuk menonton filem lama Hollywood. Saya cukup terpukau dengan elemen glamor wanita era itu yang digambarkan dengan terlalu sempurna.

“Menarik apabila ia berevolusi kini apabila ramai wanita sekarang sudah arif dalam perihal menguasai kelebihan fizikal mereka. Ia jelas menunjukkan, apa juga saiz seseorang, yang penting kita kena berbangga dengan diri kita,” katanya.

Bercerita mengenai kehidupannya menjalani situasi pandemik sekarang, Daya mengakui dia sebenarnya cukup bersyukur dengan dugaan ini.
Baginya, dia melihat segalanya dari sudut optimis terutama pengajaran diterimanya.

“Saya tahu lebih ramai lagi yang tidak bernasib baik dan bergelut masalah ekonomi sebagaimana saya. Namun saya bertuah masih dapat menyimpan rumah saya selain t
idak pernah terputus bekalan makanan atas meja.

“Semua ini ada hikmahnya tersendiri dan untuk saya, banyak masa diluangkan untuk memperbaiki diri menjadi insan yang baik seperti saya impikan. Dari situ juga ia bercambah untuk perkembangan lain dalam diri,” katanya.

-sumber: HMetro