DBKL tutup premis dikendali warga asing di kawasan Pasar Pudu

DBKL tutup premis dikendali warga asing di kawasan Pasar Pudu

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup sebuah premis dikendalikan warga asing dan mengeluarkan tiga notis terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen dalam Ops Kutip di sekitar kawasan Pasar Pudu, di sini, semalam.

DBKL dalam kenyataannya berkata, pihaknya turut mengambil 24 tindakan sita barangan penjaja tanpa lesen di sekitar kawasan terbabit.

“Sebuah premis perniagaan dikendalikan oleh warga asing dikenakan tindakan penutupan serta-merta.

“Selain itu, 24 tindakan sita dan pindah barangan atau peralatan aktiviti penjajaan tanpa lesen lesen dari warga asing membabitkan peniaga barangan am, sayuran, buah dan barangan basah,” katanya.

Kenyataan itu berkata, barangan dan peralatan perniagaan yang disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan dilakukan menerusi kesalahan mengikut Undang-Undang (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian WPKL 2016 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan dijalankan bagi membantu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diketuai oleh JIM Kuala Lumpur dengan kerjasama JIM Putrajaya dan JIM Selangor serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, ia turut membabitkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi melaksanakan pemeriksaan serta tindakan penguatkuasaan ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI).

Kenyataan itu berkata, pihaknya akan meneruskan operasi bersepadu dari masa ke semasa di lokasi tumpuan dikenal pasti selain orang ramai boleh menyalurkan maklumat untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top