am@hmetro.com.my
Teluk Intan: Masalah dalam perniagaan lima tahun lalu dipercayai menjadi motif seorang lelaki bertindak merempuh kenderaan dinaiki individu lain menggunakan pacuan empat roda selain pernah menghantar notis ugutan menggunakan dron.
Video dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan dinaiki mangsa berdurasi 54 saat memaparkan pacuan empat roda warna kelabu dinaiki suspek sengaja merempuhnya tular di laman sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden khianat itu daripada seorang lelaki berusia 30 tahun yang mendakwa diancam pemandu pacuan empat roda jenis Ford Ranger ketika berada di Lorong Langsat 4, Taman Manggis, Jalan Manggis, di sini, Jumaat lalu.
Menurutnya, kenderaan dipandu suspek yang juga ahli perniagaan berusia 42 tahun sengaja melanggar kenderaan mangsa dari hadapan sebanyak dua kali.
“Ia dipercayai untuk memberhentikan kenderaan jenis Honda Civic yang dipandu mangsa,” katanya menerusi kenyataan malam ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berpunca daripada insiden yang berlaku 22 Oktober tahun lalu yang mana seorang lelaki berumur 71 tahun yang juga rakan kongsi mangsa mendakwa menerima ugutan melalui helaian kertas yang disebarkan melalui udara menggunakan dron oleh suspek sama.
“Ugutan itu berpunca daripada masalah perniagaan antara keluarga lelaki berumur 71 tahun itu dengan suspek kira-kira lima tahun lalu. Mangsa dan lelaki 71 tahun itu tiada hubungan persaudaraan sebaliknya hanya rakan kongsi dalam perniagaan.
“Kejadian tular video pacuan empat roda yang melakukan khianat ini mempunyai kaitan dengan laporan polis yang dibuat pada 22 Oktober tahun lalu, dengan kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ancaman ugutan jenayah,” katanya.
Menurutnya, susulan pelanggaran itu, mangsa terus bergegas beredar dari lokasi kejadian untuk menyelamatkan diri seterusnya membuat laporan polis.
“Kereta mangsa mengalami kerosakan pada bahagian bumper hadapan, bonet hadapan kiri, dan pintu belakang kiri,” katanya.
Ahmad Adnan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan ancaman jenayah serta merosakkan harta benda dengan niat.
“Kes turut disiasat mengikut kesalahan trafik Rule 10, Peraturan-Peraturan Polis (Prosedur Pendakwaan) 1959.
“Kenderaan yang melanggar mangsa sudah dikenal pasti, dan suspek akan segera dikesan untuk siasatan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




