am@hmetro.com.my
Kuching: Pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang tewas dalam pemilihan parti itu akan terus diberi peranan untuk bersama meneruskan perjuangan membangunkan Sarawak.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, pemimpin yang berjawatan Menteri dan Timbalan Menteri akan terus memikul tanggungjawab masing-masing.
Abang Johari berkata, tiada sebab untuk beliau merombak Kabinet Sarawak disebabkan ada menteri tewas dalam pemilihan itu.
“Ia (rombakan Kabinet) memang hak saya tetapi ia tidak akan berlaku kerana mereka yang kalah akan terus berada dalam pasukan untuk berjuang bersama PBB,” katanya ketika ditemui selepas penutupan Perhimpunan Agung PBB Ke-16, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang menyerahkan kepadanya keputusan berhubung jawatannya dalam Kabinet Sarawak selepas kekalahan mempertahankan jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti itu semalam.
Abdul Karim yang memegang dua portfolio menteri dalam Kabinet negeri iaitu Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata, perwakilan sudah membuat keputusan dan beliau bersedia melepaskan jawatan jika kedudukannya akan membebankan Abang Johari.
Abdul Karim gagal mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden bagi sayap Bumiputera PBB selepas tewas dalam pertembungan enam penjuru untuk merebut empat kerusi jawatan itu.
Sementara itu, Abang Johari turut menganggap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, bahawa Petronas dan anak-anak syarikatnya tidak perlu dilesenkan dan tidak tertakluk kepada prosedur tambahan melaksanakan pengoperasian petroleum di Sarawak, selain yang diperuntukkan dalam Akta 144 adalah kurang tepat.
“Untuk mengatakan Petronas tidak perlu dilesenkan untuk beroperasi di Sarawak itu adalah kurang tepat.
“Saya akan terus berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu itu,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapan penggulungannya, Abang Johari berkata, mana-mana pihak yang mahu mengambil hasil bumi Sarawak harus memberi ‘salam’ terlebih dulu.
Beliau mengulangi pendirian bahawa Sarawak berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan dalam usahanya mempertahankan hak terhadap sumber minyak dan gas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




