New York: Piala Dunia 2026 terus melakar sejarah apabila jumlah kehadiran penonton sudah mengatasi gabungan dua edisi terdahulu di Russia dan Qatar meskipun kejohanan itu masih berbaki empat perlawanan.
Menurut angka rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), seramai 6,527,410 penonton hadir menyaksikan 100 perlawanan pertama Piala Dunia 2026 yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Jumlah itu melepasi gabungan kehadiran pada Piala Dunia 2018 di Russia dan Piala Dunia 2022 di Qatar yang mencatat keseluruhan 6,436,020 penonton.
Piala Dunia Russia 2018 merekodkan kehadiran 3,031,768 penonton, manakala edisi Qatar 2022 menarik 3,404,252 penonton.
Pencapaian itu dianggap lebih mengagumkan kerana rekod berkenaan dicapai sebelum kejohanan 2026 melabuhkan tirainya.
Piala Dunia 2026 hanya memerlukan 100 perlawanan untuk melepasi angka itu, sedangkan Russia 2018 dan Qatar 2022 memerlukan keseluruhan 128 perlawanan digabungkan bagi mencapai jumlah kehadiran itu.
Kejohanan kali ini masih mempunyai empat perlawanan lagi untuk diharungi iaitu dua aksi separuh akhir, perlawanan penentuan tempat ketiga dan final.
Dengan baki perlawanan yang dijangka terus menarik kehadiran tinggi, jumlah penonton keseluruhan berpotensi meningkat dengan lebih ketara.
Piala Dunia 2026 juga menjadi edisi pertama yang disertai 48 pasukan, sekali gus memperluaskan penyertaan dan tarikan kejohanan kepada lebih banyak negara di seluruh dunia.
Rekod kehadiran itu mengukuhkan lagi status Piala Dunia sebagai acara sukan paling popular di dunia, selain membuktikan sambutan luar biasa peminat terhadap format baharu yang diperkenalkan FIFA.
© New Straits Times Press (M) Bhd




