Leipzig, Jerman: Didier Deschamps berkata ia tidak berbaloi mengambil risiko menurunkan Kylian Mbappe ketika mereka melakarkan keputusan seri 0-0 menentang Belanda awal pagi tadi hanya beberapa hari selepas dia mengalami kecederaan patah hidung.
Mbappe hanya memerhati dari bangku simpanan melihat beberapa penyudah yang dipersiakan oleh Les Bleus bermakna mereka masih belum dapat mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir Euro 2024 dengan masih mempunyai baki satu perlawanan.
Deschamps mengakui keputusannya mungkin berbeza untuk perlawanan kalah mati dan berharap Mbappe dapat kembali untuk perlawanan kumpulan terakhir menentang Poland, awal pagi Rabu ini.
“Setiap hari dia semakin pulih dan jika malam ini adalah perlawanan penting saya akan berfikir dua kali tentang sama ada akan menurunkan dia bermain atau tidak.
“Kami sentiasa memikirkan apa yang terbaik untuknya. Selepas apa yang berlaku saya fikir keputusan yang bijak untuk mengekalkannya di bangku simpanan,” kata Deschamps.
Antoine Griezmann gagal memanfaatkan peluang terbaik Perancis, di mana pasukan Deschamps setakat ini hanya menjaringkan satu gol dari dua perlawanan di Jerman.
Walau bagaimanapun, mereka tetap berada di landasan yang baik untuk mara ke peringkat seterusnya dengan empat mata dari dua perlawanan pembukaan.
Aurelien Tchouameni mengambil alih tempat Mbappe, satu-satunya perubahan yang dilakukan daripada skuad yang melakar kemenangan 1-0 ke atas Austria Isnin lalu ketika Deschamps mencari kestabilan dengan menambah seorang pemain di bahagian tengah.
Tetapi dia berkata satu-satunya penyesalannya ialah tidak dapat melihat Perancis mengambil salah satu peluang mereka.
“Saya sentiasa cuba membuat pilihan yang tepat supaya kami mempunyai keseimbangan pasukan yang terbaik.
“Satu-satunya penyesalan saya adalah bahawa kami tidak cukup efisien. Kami mempunyai lima atau enam peluang untuk menjaring gol,” tambah Deschamps.
© New Straits Times Press (M) Bhd
