Devan jurulatih Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Seremban: Bekas ketua jurulatih Petaling Jaya (PJ) City FC, K Devan dilantik bagi menjawat jawatan sebagai ketua jurulatih Negeri Sembilan pada musim depan.

Tunku Besar Tampin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri berkata bahawa satu sesi temu duga diadakan oleh jawatankuasa eksekutif PBNS di Wisma PBNS semalam.

“Kami sepakat melantik Devan dan semua sedia maklum, Devan adalah bekas pemain Negeri Sembilan dan jurulatih tempatan berpengalaman. Malah, beliau antara jurulatih yang berjaya mengumpul trofi kejuaraan paling banyak sepanjang kariernya sebagai ketua jurulatih bersama kelab yang pernah beliau bimbing”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengalaman yang dimiliki jurulatih kelahiran Bahau, Negeri Sembilan itu menjadi asas pemilihannya sebagai ketua jurulatih menurut Tunku Syed Razman.

Menurutnya lagi, kejayaan membawa PJ City menamatkan saingan di tempat ketujuh Liga Super musim ini diyakini mampu menjulang kembali nama skuad Hobin Jang Hobin.

“PBNS yakin dan percaya dengan pengalaman dan pencapaian yang diraih Devan akan dapat membimbing pasukan Negeri Sembilan untuk layak ke saingan Liga Super musim 2022”, katanya lagi.

Jadi, ia merupakan kali ketiga bagi Devan yang kini berusia 59 tahun mengendali skuad yang terkenal dengan jolokan Hobin Jang Hobin selepas kali pertama pada musim 2003 hingga 2006 dan kali kedua bagi musim 2015.

Sebagai rekod, Devan pernah membimbing Negeri Sembilan apabila meraih kejuaraan Piala FA pada 2003 dan kejuaraan Liga Super pada musim 2005/2006.

Sumber: BH Online

Akmal Hakim
Sports Desk