Kebaikan lada hitam

Lifestyle: Dalam masakan, lada hitam digunakan secara meluas untuk menambah keenakan dan bagi perubatan tradisional Melayu.

Sebagai pengetahuan, lada hitam bukanlah sekadar rempah biasa kerana ianya mengandungi pelbagai khasiat yang sangat baik untuk kesihatan tubuh.

Faktanya, lada hitam mengandungi serat makanan dengan sejumlah kecil protein dan karbohidrat. Rempah ini turut tinggi mineral termasuk kalsium, magnesium, fosforus, kalium dan natrium.

Berdasarkan Pangkalan Data Nutrien Nasional Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), lada hitam juga mengandungi vitamin B6, E, K, folat, niacin, riboflavin dan thiamin.

Disenaraikan kebaikan-kebaikan lada hitam:

1) Menyokong fungsi otak

Lada hitam merangsang laluan kimia di otak yang membantu menambahkan daya ingatan dan fungsi kognitif.

Satu kajian menunjukkan bahawa lada hitam sangat berkesan dalam membantu mencegah penyakit Alzheimer dan meningkatkan ingatan dengan menyembuhkan kerosakan saraf di hipokampus.

2) Membantu badan berpeluh

Berpeluh bagus kerana ia membantu membuang toksin dalam badan.

Namun, lada hitam juga berfungsi membantu tubuh membuang lebihan air melalui air kencing yang mengandungi lemak dan asid urik.

3) Meningkatkan pencernaan

Lada hitam membantu merangsang seluruh sistem pencernaan daripada kelenjar air liur sehingga usus besar termasuk jus pencernaan yang sangat penting seperti asid dan hempedu dalam membantu mencernakan makanan.

4) Membantu menurunkan berat badan

Lada hitam turut membantu menjadikan fungsi badan lebih baik termasuklah menurunkan berat badan.

Pemecahan sel lemak dibantu oleh lapisan luar biji lada hitam yang memudahkannya diproses oleh badan. Ini secara tidak langsung membantu menurunkan berat badan dengan lebih mudah.

5) Antikeradangan

Sifat antikeradangan pada lada hitam berupaya mengurang dan menghentikan proses sel mati. Ia juga berperanan mencegah dan merawat penyakit Parkinson.

6) Melawan jangkitan

Lada hitam sering digunakan dalam perubatan Ayurveda bagi melawan jangkitan termasuk gigitan serangga.

Rempah ini bertindak seperti serat kerana membantu menyingkirkan kolesterol berlebihan pada dinding arteri serta mengurangkan risiko terkena aterosklerosis iaitu keadaan berkaitan serangan jantung dan angin ahmar.

7) Tinggi antioksidan

Setiap hari manusia terdedah kepada radikal bebas seperti bahan kimia, racun dan pencemar yang terdapat dalam persekitaran. Tanpa disedari, bahan tersebut sebenarnya boleh merosakkan sel sihat.

Justeru, dengan memakan lada hitam yang dicampur dalam makanan, ia boleh membantu membaiki kerosakan seterusnya mengurangkan risiko barah dan penyakit lain.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Lifestyle Desk