Dewan Pemuda PAS kecam tekanan politik batal pendaftaran PN

Dewan Pemuda PAS kecam tekanan politik batal pendaftaran PN

m@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Pemuda PAS mengecam tindakan pihak tertentu yang didakwa menggunakan tekanan politik terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sehingga membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN).

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, turut mempersoalkan tindakan RoS yang dilihat tergesa-gesa membuat keputusan, sedangkan kes berkenaan sepatutnya dibawa ke mahkamah pada 22 Oktober ini.

Afnan yang Ahli Parlimen Alor Setar berkata, sebelum ini RoS sendiri sudah mengeluarkan surat yang menyatakan bahawa isu berkaitan akan dijawab di mahkamah.

“Jadi, kenapa tiba-tiba berubah? Siapa yang mendesak? Ada tangan-tangan tertentu yang sedang memberi tekanan kepada RoS?

“Kita mahu RoS bertindak secara profesional, bebas dan berintegriti. Jangan sampai institusi kerajaan dilihat seolah-olah menjadi alat untuk memenuhi kehendak politik pihak tertentu,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, sekiranya benar terdapat tekanan politik di sebalik keputusan itu, tindakan berkenaan bukan sahaja mencemarkan imej RoS, malah boleh merosakkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.

“Rakyat hari ini bukan mudah diperbodohkan. Rakyat boleh menilai apa yang sedang berlaku.

“Jangan kerana terlalu ghairah mahu melemahkan PN, akhirnya prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang pula yang dikorbankan.

“Negara ini ada undang-undang. Hormatilah proses mahkamah. Jangan jadikan undang-undang rimba sebagai amalan!,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, RoS membatalkan pendaftaran PN selepas penjelasan dan representasi yang dikemukakan gabungan itu didapati tidak dapat menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.

Menerusi kenyataan, RoS memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas Pendaftar Pertubuhan meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan PN susulan notis bertarikh 22 September lalu.

Menurut jabatan itu, pihaknya menerima maklum balas daripada PN pada 12 Oktober lalu sebelum mendapati alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran gabungan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top