Perhilitan terima enam aduan gangguan gajah liar di Perlop 1

Perhilitan terima enam aduan gangguan gajah liar di Perlop 1

SUNGAI SIPUT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menerima enam aduan berkaitan gangguan gajah liar di Kampung Perlop 1 sepanjang tahun ini.

Pengarah Perhilitan Perak, Dr. Pazil Abdul Patah berkata, kakitangannya sudah ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemantauan dan kawalan susulan aduan yang diterima.

“Penduduk dan pekebun dinasihatkan supaya tidak menghampiri, mengganggu atau cuba menghalau gajah liar secara bersendirian kerana tindakan itu boleh mengundang risiko keselamatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka juga perlu mengelakkan aktiviti di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kehadiran gajah terutama pada waktu berisiko,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, penduduk juga diminta segera melaporkan kepada Perhilitan sekiranya mengesan tanda kehadiran gajah liar atau berlaku kerosakan baharu.

“Sekiranya gajah memasuki kawasan kediaman atau menimbulkan ancaman keselamatan, penduduk hendaklah menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan segera,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pekebun yang mengalami kerosakan tanaman dan harta benda akibat gangguan haiwan berkenaan boleh mengemukakan permohonan Bantuan Kerosakan Tanaman dan Harta Benda (BKHT).

“Pekebun terjejas diminta menghubungi Pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai permohonan bantuan berkenaan,” katanya.

Semalam media melaporkan kebimbangan pekebun di Kampung Perlop 1 yang terpaksa menangggung kerugian puluhan ribu apabila tanaman kelapa sawit yang diusahakan mereka rosak dan musnah akibat serangan gajah liar sejak dua bulan lalu.

Gangguan itu dilaporkan semakin kerap berlaku apabila haiwan berkenaan dikesan menceroboh kebun sehingga empat hingga lima kali sepanjang tahun ini, malah kehadirannya ada kalanya hanya berselang dua hari. – UTUSAN

 

Scroll to Top