syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Ruhainies menghantar Notis Tuntutan (LOD) kepada tiga individu yang didakwa melemparkan fitnah terhadapnya di media sosial apabila mengaitkannya dengan seorang individu berpengaruh.
Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 34, berkata, tindakan itu diambil selepas fitnah masih berlarutan walaupun dia sebelum ini sudah membuat penafian.
“Beberapa hari lalu, nama saya difitnah dan perkara ini bukanlah baru berlaku, sebaliknya sudah lama berlarutan. Sebelum ini pun saya pernah berhadapan dengan situasi ini.
“Saya sudah cuba buat penafian melalui media, tapi ada yang menganggap saya main-main, katanya semua orang boleh nafikan.
“Sekarang, saya rasa tiba masanya untuk ambil tindakan undang-undang bagi menunjukkan bahawa saya serius dan menegaskan, perkara itu adalah fitnah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Ruhainies diwakili dua peguam iaitu Mohd Haizal Ayop dan Fakhrul Azman Abu Hassan turut menegaskan bahawa fitnah itu tidak berasas dan memburukkan reputasinya
“Saya pun tak tahu dari mana punca fitnah ini timbul. Lainlah kalau ada gambar yang tersebar, atau mereka melihat saya bersama individu itu di luar.
“Apabila saya bertanya kepada individu yang buat tuduhan itu, mereka pun tak tahu. Katanya, mereka hanya tulis sahaja. Niat mereka hanya nak menjatuhkan reputasi dan memburukkan nama saya.
“Saya tak kata nama saya bersih selama ini sebab saya pun terpalit kontroversi. Walau dah kotor sekalipun, takkan nak kotorkan lagi,” katanya.
Ruhainies juga mencabar pemfitnah-pemfitnah ini untuk mengemukakan bukti sekiranya dakwaan mereka benar.
“Selama ini saya bekerja keras, tapi senang-senang mereka melabel saya dibela dan ditaja. Kalau benar, mana buktinya?
“Kalau boleh dibuktikan, saya pun takut nak ambil tindakan sebab orang akan korek. Saya berani kerana benar,” katanya.
LOD itu sudah dihantar kepada tiga individu terbabit bagi menuntut permohonan maaf, aku janji untuk menarik/memadam segala kenyataan fitnah, berhenti mengulangi tohmahan dan menanggung kos guaman.
Kegagalan berbuat demikian dalam masa tujuh hari, pihak Ruhainies akan menuntut ganti rugi RM3 juta daripada setiap individu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




