Digelar ‘Duda Hot’, Penampilan Sedondon Fattah Amin Bersama Amira Othman Hanya Sekadar Tuntutan Klien

Digelar ‘Duda Hot’, Penampilan Sedondon Fattah Amin Bersama Amira Othman Hanya Sekadar Tuntutan Klien

Pelakon kacak, Fattah Amin menjelaskan kemunculannya memakai busana sedondon bersama penyanyi Amira Othman hanya sekadar memenuhi tuntutan klien.

Dilantik menjadi duta jenama tekstil dan pakaian Jakel 2025, Fattah yang digelar duda ‘hot’ oleh peminat tiada masalah untuk bergandingan dengan Amira sekiranya ia boleh memberikan kesan yang baik kepada dirinya dan klien.

“Alhamdulillah, ini adalah rezeki dan kepercayaan diberikan oleh Jakel, macam sebelum ini juga. Macam saya cakap sebelum ini, kita sama-sama membantu.

“Jenama ini ambil kami sebagai wajah mereka dan kami bantu untuk mempromosi. Bila Jakel bersetuju untuk menggandingkan saya bersama Amira, itu juga membantu promosi,” katanya kepada XTRA.

Fattah ditemui di sidang media pengumuman Duta Jakel 2025 di Jakel Mall, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Menurut pelakon drama bersiri Lelaki Melayu Terakhir di TV3 ini, dia tiada masalah untuk bergandingan dengan Amira di masa akan datang.

“Jika perkara itu ada beri kesan kepada klien yang mengambil kami, lebih-lebih lagi kesan baik, saya fikir tiada masalah semuanya kerana saling bantu-membantu.

“Kalau selepas ini ada lagi tawaran membabitkan kami, saya rasa tiada masalah. Jadi, bila diberi peluang dan kepercayaan saya ambil untuk penuhi kepercayaan itu,” katanya lagi.

Terdahulu, menerusi majlis pengumuman duta dan kempen Raya Mendonia Bersama Jakel 2025, Fattah dan Amira mencuri perhatian pengunjung apabila tampil berpakaian sedondon warna ‘burgundy’.

Dalam majlis itu, Fattah dan Amira diumum sebagai duta Jakel bagi memperhebat kempen Raya Mendonia Bersama Jakel 2025.

Selain Fattah dan Amira, selebriti lain yang diumum sebagai duta adalah Senario, Nabil Ahmad seisi keluarga, Cik Epal, Elly Mazlein, Anzalna Nasir seisi keluarga, Sallywho seisi keluarga termasuk Upin & Ipin.

Scroll to Top