Digital Nation Summit: Malaysia Fokus Kepercayaan, Inovasi Dan Kerjasama Serantau

Digital Nation Summit: Malaysia Fokus Kepercayaan, Inovasi Dan Kerjasama Serantau

Malaysia menekankan tiga teras utama dalam membina ekonomi dan masyarakat digital rantau ini iaitu memperkukuh kepercayaan digital, menjadikan inovasi sebagai enjin pertumbuhan dan memperluas kerjasama serantau.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kerajaan juga komited memastikan tadbir urus data dan keselamatan siber berada pada tahap terbaik bagi meningkatkan kepercayaan digital yang menjadi asas pembinaan ekonomi dan masyarakat digital serantau.

Katanya, ia termasuklah pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.

“Di samping itu (kita mengadakan) kempen advokasi keselamatan internet yang telah menjangkau lebih 150,000 rakyat,” katanya.

Teo Nie Ching menyampaikan ucaptama Digital Nation Submit

Beliau menyampaikan ucaptama dalam Digital Nation Summit Kuala Lumpur (Edisi ASEAN) yang julung kali dianjurkan bersama GSMA, bersempena Pengerusi ASEAN 2025 di Kuala Lumpur, semalam.

Acara berkenaan menghimpunkan pemimpin kerajaan, pengawal selia, industri dan rakan serantau bagi membincangkan hala tuju masa depan digital ASEAN.

Mengulas teras kedua, Nie Ching menegaskan inovasi adalah nadi kepada ekonomi digital ASEAN yang kini bernilai USD300 bilion dan dijangka melebihi USD1 trilion menjelang 2030.

Katanya, di Malaysia program Geran Digital PMKS Madani, pelaksanaan JENDELA dan 5G memberi impak besar kepada komuniti serta perniagaan.

“Liputan 5G negara kini telah mencapai 82.4 peratus kawasan berpenduduk” jelasnya.

Mengenai kerjasama serantau, Nie Ching berkata Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan negara jiran, sektor swasta dan rakan antarabangsa bagi mempercepat transformasi digital.

Antaranya kata beliau, peluasan siri GSMA M360 ke ASEAN pada 2026, selaras dengan Visi ASEAN 2045 untuk membina komuniti digital yang berdaya tahan, inovatif dan inklusif.

“Sidang kemuncak ini adalah permulaan kepada bab baharu pembinaan negara digital ASEAN – dipacu kepercayaan, berkembang melalui inovasi dan maju bersama,” katanya.


Scroll to Top