am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang murid perempuan Tahun Dua yang cedera ditimpa kipas siling tercabut ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung empat tahun lalu, memperoleh ganti rugi RM6,000 selepas berjaya dalam sebahagian tuntutan saman sivil terhadap guru besar dan empat yang lain.
Dalam kejadian itu, murid terbabit yang kini berusia 12 tahun memfailkan saman pada Januari 2024 melalui bapanya, patah tulang jari kedua bahagian tangan kiri dan cedera pada tisu lembut di bahagian tengah dada.
Majistret Selama, Perak, R Prabakaran memerintahkan kesemua defendan iaitu Guru Besar sebuah sekolah rendah di Selama, Pegawai Pendidikan Daerah Larut Matang Dan Selama, Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Ketua Pengarah Pendidikan KPM dan Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi berkenaan.
Beliau membuat keputusan itu selepas meneliti keseluruhan keterangan, dan mendapati defendan pertama hingga keempat gagal mengambil langkah munasabah untuk memastikan kipas siling itu berada dalam keadaan selamat dan disenggara dengan baik.
Ganti rugi yang diberikan merangkumi ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan dialami plaintif berikutan kecederaan itu, bagaimanapun mahkamah menolak tuntutan bagi ganti rugi khas, punitif dan teladan.
Prabakaran turut memutuskan kerajaan bertanggungjawab secara vikarus ekoran kecuaian dan pelanggaran tanggungjawab oleh defendan pertama hingga keempat.
Dalam alasan penghakiman bertarikh 23 Mac lalu, Prabakaran berkata kipas siling yang dipasang di atas ruang pembelajaran murid adalah risiko yang boleh dijangka secara munasabah kerana ia peralatan berat yang bergantung kepada struktur pemasangan dan penyelenggaraan berterusan.
Beliau berkata, kegagalan tidak berlaku secara luar biasa tanpa sebarang punca, tetapi lazimnya berkait dengan faktor seperti penyelenggaraan yang tidak mencukupi, kehausan komponen atau kecacatan pemasangan.
“Oleh itu, risiko kipas siling bermasalah sehingga boleh jatuh adalah suatu risiko yang secara munasabah boleh dijangka oleh pihak sekolah.
“Keduanya, saksi defendan pertama, iaitu guru besar sekolah cuba bergantung kepada amalan pemeriksaan secara `lihat dan dengar’ oleh guru bagi memastikan sama ada terdapat kerosakan.
“Ia di mana hanya sekiranya ada bunyi mencurigakan atau keadaan yang kelihatan tidak teratur, baru laporan akan dibuat.
“Defendan pertama juga juga telah memberikan keterangan bahawa kipas telah disenggara dan ada satu laporan penyelenggaraan rutin kipas di sekolah berkenaan, namun tidakdikemukakan kepada mahkamah,” katanya.
Prabakaran berkata, guru besar turut memaklumkan pihak sekolah telah melaporkan insiden kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Larut Matang dan Selama, dan satu laporan telah dikeluarkan, bagaimanapun ia juga tidak dikemukakan kepada mahkamah.
Sementara itu, mahkamah menolak tuntutan ganti rugi khas berikutan plaintif gagal untuk mengemukakan keterangan yang mencukupi seperti resit, invois atau pecahan perbelanjaan khusus yang berkaitan dengan tuntutan terbabit.
Bagi tuntutan punitif dan teladan, mahkamah berkata walaupun ia mendapati wujud pelanggaran tanggungjawab berjaga-jaga oleh defendan, tiada sebarang unsur niat jahat, kecuaian melampau yang disengajakan atau tingkah laku yang
bersifat menindas atau mengaibkan.
Prabakaran berkata, kecuaian yang terbukti dalam kes itu adalah terhad kepada kegagalan mengambil langkah penyelenggaraan yang munasabah dan bukannya suatu bentuk kelakuan yang mencapai ambang undang-undang bagi pemberian ganti rugi punitif atau teladan.
Katanya, mahkamah mengambil maklum, defendan pertama hingga keempat menunjukkan usaha baik dengan menziarahi murid itu di kediamannya dan menganjurkan majlis, di mana sagu hati diberikan kepada keluarga sebagai tanda keprihatinan dan permohonan maaf.
© New Straits Times Press (M) Bhd




