norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Indonesia, Marshanda, 36, bersikap terbuka dan menerima positif tindakan anak perempuan tunggalnya, Sienna Ameerah Kasyafani, 13, yang kini tampil tidak bertudung.
Marshanda menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram (IG) berkata, dia tidak menyokong pilihan anaknya untuk menjadi ‘sesat’ tetapi menghormati proses Sienna belajar mengenal diri melalui kejujuran.
“Saya tidak mendukung pilihan untuk menjadi sesat. Yang saya dukung adalah belajar mengenal diri melalui proses yang jujur.
“Sama ada jalannya Sienna memakai hijab lagi atau tidak, itu di luar pengaruh dan kuasa saya,” tulisnya pada hantaran berkenaan dengan menyifatkan dia tidak boleh mengatur takdir Allah.
Menurut Marshanda yang mesra disapa Caca, sebagai orang tua kepada anak perempuannya, dia hanya mahukan yang terbaik untuk diri Sienna tanpa mempengaruhi pilihan remaja itu.
“Bukan tempatnya saya mempengaruhi pilihan hidup Sienna. Sebagai orang tua, tugas kita adalah menjadi versi terbaik diri. Melahirkan anak kita yang secara alami akan ‘sihat’ jika dia mengambil keputusan hidup bukan kerana mencontoh sesiapa pun.
“Sebagai orang tua, jangan sampai anakku Sienna mengambil jalan hidup hanya untuk menyenangkan ibunya dan ayahnya. Saat dewasa, doa saya agar Sienna hidup mengenal ‘diri sebenar’ (true self).
“Saya menghormati proses Sienna sekarang, persis sama sebagaimana saya menghormati proses Sienna sebelum ini (memakai tudung),” tulisnya.
Ujar Marshanda, dia juga sekadar menghormati hak asasi seorang manusia dengan keputusan dibuat tanpa cuba mengadilinya sebagai satu tindakan salah atau benar.
Meninjau pada ruangan komen, pelbagai reaksi ditinggalkan netizen mengenai hantaran disifatkan mengejutkan daripada Marshanda yang berkongsi keputusan dibuat Sienna untuk tidak lagi bertudung.
Terdahulu, Marshanda bernikah dengan pelakon Ben Kasyafani pada 2 April 2011 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan Sienna pada Januari 2013.
Namun, pasangan ini sah bercerai pada 25 November 2014 selepas lebih tiga tahun bersama dan Ben juga sudah mendirikan rumah tangga kali kedua dengan wanita pilihannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




