Dikecam bela enam ekor anjing, Fezrul Khan perjelas – “Dah rujuk al-Quran”

Tindakan pelakon Fezrul Khan membela enam ekor anjing untuk menjaga kebunnya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan adalah berpandukan al-Quran.

Menurut laporan mStar Online, pelakon berusia 40 tahun itu berkata, dia menyedari batas sebagai seorang beragama Islam dan membuat rujukan bagi menyelesaikan sebarang keraguan.

“Sebenarnya susah nak cakap hal ini sebab banyak sangat pandangan. Bagi saya, ikut sahaja al-Quran.
“Apa pun yang saya buat kenalah rujuk al-Quran dahulu sebab Allah turunkan kitab suci ini sebagai panduan,” katanya membela anjing jenis K-9.

Fezrul berkata, dia menyifatkan orang ramai terlalu mudah menjatuhkan hukum dengan mengecam tindakannya tanpa menyelidik atau menghayati kitab suci tersebut.

“Saya sendiri kalau tak faham selepas merujuk al-Quran akan bertanya lebih lanjut kepada mana-mana ustaz.
“Tapi ada orang pula hanya dengar ceramah ustaz dan terus percaya. Mereka tidak membaca dalam al-Quran,” ujar pelakon drama Hadiah Dari Tuhan itu.

Terdahulu, Fezrul atau nama penuhnya Fezrul Khan Junaidi Khan memuat naik video di InstaStory memaparkan dirinya memegang anjing peliharaan sehingga menerima kecaman netizen.

Sumber: mStar Online (Farol Hadi) , Instagram Fezrul Khan