sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Disiplin taktikal, penggunaan hero yang bijak serta ketenangan membuat keputusan di bawah tekanan menjadi kunci kejayaan bersejarah Malaysia meraih pingat emas pertama acara Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita di Sukan Sea Thailand, menurut barisan kejurulatihan negara.
Skuad MLBB wanita Malaysia melakar sejarah apabila menewaskan kuasa besar Filipina 4-3 dalam aksi final mendebarkan yang berlangsung di Universiti Chulalongkorn, Bangkok, sekali gus menghadiahkan emas sulung negara dalam acara berkenaan.
Barisan pemain yang dibarisi Qurratul Ain Nurfarisha Nizam, Afrina Balqis Ibdhi Har Ali, Hanis Wahidah Dashuki, Queenie Lim dan Sharifah Alia Husna Syed Fakrrurozi mengejutkan pasukan pilihan untuk mencipta kemenangan bermakna.
Malaysia memulakan perlawanan dengan kemenangan meyakinkan pada permainan pertama sebelum Filipina bangkit memenangi dua permainan berturut-turut bagi mendahului 2-1.
Skuad wanita negara kembali menyamakan kedudukan pada permainan Keempat, namun lawan sekali lagi mendahului 3-2 selepas memenangi permainan Kelima.
Bagaimanapun, semangat juang tinggi ditampilkan pemain negara menyaksikan mereka bangkit menyamakan kedudukan sebelum mengesahkan kemenangan emas pada permainan penentuan.
Jurulatih Farhan Ibrahim dan Kelvin Unting memuji kematangan pemain dalam melaksanakan peranan masing-masing ketika berdepan tekanan hebat.
“Boleh dilihat hasil dan cara hero digunakan. Semua pemain faham tugas masing-masing,” kata Farhan sambil menambah pasukan kekal tersusun meskipun perlawanan berlangsung sengit.
Kejayaan itu menyaksikan emas pertama Malaysia dalam acara MLBB wanita sejak diperkenalkan pada Sukan Sea 2023 di Phnom Penh, selain emas MLBB pertama negara sejak debut e-sukan itu pada edisi Manila 2019.
Ia juga emas e-sukan pertama Malaysia sejak Manila 2019 selepas Dr Yew Weng Kean memenangi acara Hearthstone.
Kelvin turut memberi pujian khas kepada pemain EXP Laner, Farisha, yang mempamerkan aksi cemerlang sepanjang perlawanan.
“Boleh lihat sumbangannya, terutama menggunakan Lapu-Lapu. Ia sangat agresif dan mengagumkan,” katanya.
“Namun bukan dia sahaja, seluruh pasukan bermain dengan sangat baik hari ini.”
Prestasi Farisha turut mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan dia beraksi di peringkat profesional, dengan pemain itu sendiri menyatakan minat untuk bersaing dalam MPL Malaysia.
“Jika ada peluang, saya mahu bermain. Jadi sesiapa yang mahu ambil saya bermain dalam MPL, hantar mesej peribadi,” katanya sambil ketawa ketika temu bual selepas perlawanan.
Kapten pasukan, Arya, menyifatkan pingat emas itu amat bermakna selepas kekecewaan sebelum ini di pentas antarabangsa dan memuji usaha kolektif semua pihak.
“Saya sangat gembira dan bangga dengan pasukan, jurulatih serta pengurusan. Tanpa mereka, kami tidak mungkin dapat emas ini,” katanya.
Arya turut mendedikasikan kemenangan itu kepada penyokong di tanah air.
“Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan sama ada secara dalam talian atau di venue. Kami dapat rasakan sokongan anda,” katanya.
“Pingat emas ini untuk anda semua.”
Terdahulu, skuad MLBB lelaki negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 0-4 kepada Filipina, sekali gus menjadikan kejayaan skuad wanita lebih bermakna buat program e-sukan Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




