Ditikam kunci kereta, remaja dapat 6 jahitan – “Suspek & kami gaduh sejak kecil..”

Seorang mangsa yang cedera akibat ditikam kunci kereta dalam pergelutan di Pantai Merdeka, Sungai Petani pada Ahad lalu telah menerima enam jahitan selepas mendapat rawatan di hospital.

Menurut laporan Harian Metro, mangsa Nurul Najihah Azizan berkata, suspek wanita itu juga pernah bergaduh dengan kakaknya namun mereka memilih untuk tidak memanjangkan cerita.

“Jika diikutkan, pergaduhan antara kami dan suspek sudah berlarutan sejak saya masih kecil tanpa diketahui punca namun kami sekeluarga tidak ambil kisah dan enggan melayan kerenahnya.
“Kami tinggal sekampung dan setiap kali berselisih pasti ada sahaja kata-kata hinaan dan ejekan wanita terbabit tanpa diketahui punca,” kata remaja berusia 18 tahun itu.

Semalam, tular beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan mangsa berbaju putih berlumuran darah sewaktu bergelut dengan suspek berbaju hitam sebelum oleh dileraikan seorang lelaki.

Bercerita mengenai kejadian terbabit, Nurul Najihah berkata ketika itu dia sedang menuju ke gerai kakaknya yang menjual alat permainan.

“Saya baru pulang dari Alor Setar dan terus menuju ke gerai kakak sebelum berselisih dengan wanita terbabit yang secara tiba-tiba memaki hamun dan menghina kakak tanpa sebab.
“Saya mempersoalkan tindakannya, dia tiba-tiba naik angin dan mengamuk serta menolak troli sehingga berselerak barang jualan,” ujarnya.

Ketika ditumbuk, dia berkata suspek yang berusia 23 tahun itu sedang menggenggam kunci kereta sehingga membuatkan kening sebelah kanannya berdarah dan mengalami luka agak dalam.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek yang bekerja sebagai operator kilang sudah direman sehingga esok.

Hasil siasatan mendapati kes berpunca disebabkan suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan keluarga mangsa berhubung perniagaan dijalankan.

Sumber: Harian Metro (Izad Thaqif Hassan) , Facebook Eyra Syahirah Azizan