am@hmetro.com.my
Nilai: Peniaga berputih mata apabila menjadi mangsa penipuan sindiket yang menyamar sebagai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerugian mencecah RM655,000.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 31 tahun itu pada 11.15 pagi tadi.
“Mangsa mendakwa pada 21 November lalu, dia menerima panggilan telefon daripada seorang individu mendakwa wakil pejabat TNB yang memaklumkan namanya didaftarkan atas premis disyaki terbabit jenayah.
“Talian kemudian disambung kononnya kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan mangsa dimaklumkan pula bahawa akaun miliknya digunakan untuk penggubahan wang haram.
“Mangsa diminta memindahkan wang ke dalam 11 akaun yang diberikan suspek kononnya untuk tujuan pengesahan kewangan bagi siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa menurut arahan dan 14 transaksi telah dilakukan babitkan sejumlah RM655,000, sebelum dia sedar diperdaya dan membuat laporan.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihat supaya membuat semakan dengan pihak berkuasa sekiranya menerima sebarang panggilan telefon mencurigakan dan tidak memberikan maklumat bank kepada individu tidak dikenali,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


