DJ Dave, Darling sifatkan 'pemergian' Raja Nurfatimah sangat mengejut

DJ Dave, Darling sifatkan 'pemergian' Raja Nurfatimah sangat mengejut

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kematian mengejut Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian (BH), Raja Nurfatimah Mawar Mohamed, 49, di kediamannya di Sungai Long, hari ini mengejutkan sahabat handai dan penggiat industri seni hiburan tanah air.

Ramai antara mereka yang mengenali dan rapat dengan arwah menyifatkan kematian Raja Nurfatimah sebagai kehilangan seorang wartawan hiburan yang unggul di tanah air.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk Dj Dave berkata, kematian arwah Raja Nurfatimah sebagai kehilangan seorang wartawan hiburan yang unggul di tanah air.

“Allahyarham seorang yang prihatin terhadap dunia seni suara. Selalu bertanya khabar berita mengenai artis-artis dan dia seorang kawan yang baik juga.

“Saya memang rapat dengan dia sejak lebih 20 tahun lalu dan memang seorang yang sentiasa ada bila diperlukan untuk majlis anjuran YKAT untuk hulurkan bantuan kepada artis-artis.

“Kali terakhir saya jumpa arwah, dia suruh saya dapatkan Maureen Chan, seorang penyanyi era 80-an untuk ditemubual. Saya berjaya dapatkan Maureen dan dia buat temubual di rumah Maureen. Itulah kali terakhir kami berjumpa,” katanya.

Sementara itu, pelakon dan penerbit, Darling Ngasri melahirkan perasaan sedih dengan kehilangan Raja Nurfatimah yang dianggap seperti kakak sendiri.

“Allahyarham Kak Raja Mawar insan yang saya kenal agak lama di BH. Arwah seorang wartawan yang saya kenal sejak zaman sekolah dan banyak buat liputan mengenai keluarga kami.

“Dari segi peribadi, Allahyarham seorang yang periang dan tidak berkira untuk bantu kami karyawan-karyawan kecil promosikan drama.

Malah abang saya, Bell sendiri ingat sangat jasa Kak Raja Mawar yang sambut Bell masa menang Anugerrah Bintang Popular BH (ABPBH) dulu. Kami sangat sedih. Berita ini amat mengejutkan,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Raja Nurfatimah dimaklumkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 3 petang tadi, selepas mengadu sakit dada dan sukar bernafas.

Raja Nurfatimah yang mesra disapa rakan media dan selebriti sebagai Raja, memulakan kerjaya kewartawanan sebagai wartawan sambilan di Biro BH Kuala Terengganu pada usia 18 tahun sebelum dilantik wartawan sepenuh masa di Harian Metro.

Sepanjang lebih tiga dekad bergelar wartawan, dia pernah berkhidmat dalam pelbagai unit termasuk berita, jenayah dan hiburan, sama ada di Harian Metro mahupun BH.

Sebagai wartawan hiburan, Raja dikenali dengan penulisan yang tajam dan berpengaruh. Dia menghasilkan banyak laporan eksklusif termasuk membongkar kisah penyanyi veteran, Sahara Yaacob yang hidup menumpang di stor, serta pelbagai laporan pendedahan lain yang mencuri perhatian.

Raja juga dikenali rapat dengan ramai selebriti tanah air, antaranya Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Noorkumalasari dan keluarga pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam.

Pada 2017, dia dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penulis Pojok Terbaik di Anugerah Kecemerlangan Industri Filem Malaysia (AKIFMA) menerusi rencana bertajuk Beginikah Perilaku Penggiat Seni yang disiarkan di ruangan Desas Desus, akhbar BH.

Pemergian Allahyarham Raja Mawar satu kehilangan besar buat dunia kewartawanan hiburan tanah air.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top