Paris: Novak Djokovic tidak berdepan masalah besar untuk menempah tempat ke pusingan keempat Terbuka Perancis selepas mencatat kemenangan selesa ke atas pemain Austria, Filip Misolic, awal pagi tadi.
Pemain pilihan keenam itu menewaskan Misolic yang berada di ranking ke-153 dunia dengan keputusan 6-3, 6-4, 6-2 dalam tempoh dua jam lebih di gelanggang utama, Court Philippe Chatrier.
Namun, Djokovic mengakui suasana di Paris lebih tertumpu kepada aksi final Liga Juara-Juara antara Paris Saint-Germain (PSG) dan Inter Milan yang berlangsung serentak di Munich, berbanding aksinya di gelanggang tanah liat.
“Saya tak tahu sama ada slot malam ini bagus untuk saya atau tidak. Penonton lebih banyak mengikuti perlawanan bola sepak berbanding tenis,” kata Djokovic sambil berseloroh selepas perlawanan.
Pemain Serbia berusia 38 tahun itu berkata dia dapat mendengar sorakan kuat setiap kali PSG menjaringkan gol dan mula tertanya-tanya apa yang sedang berlaku.
“Tiba-tiba terlalu banyak sorakan. Saya fikir, ‘Eh, Paris jaringkan gol lagi?’ Rupa-rupanya mereka menang 5-0, memang luar biasa,” katanya yang adalah penyokong kelab AC Milan.
Djokovic sebelum ini secara terbuka menyuarakan keengganannya untuk bermain lewat malam kerana tidak mahu terlepas perlawanan bola sepak itu, namun tetap kekal fokus dalam misi memburu gelaran Grand Slam ke-25.
“Sembilan set daripada sembilan dimenangi setakat ini. Saya gembira dengan prestasi saya, walaupun Filip bermain dengan berani dan memberi saingan hebat,” ujar Djokovic lagi.
Dalam aksi itu, Djokovic hanya berdepan satu mata break dan berjaya menyelamatkannya. Dia turut mencatat 33 pukulan kemenangan dan hanya melakukan 14 kesilapan tidak paksa.
Djokovic akan menentang pemain ranking ke-81 dunia, Cameron Norrie dari Britain untuk tiket ke suku akhir. Dia sebelum ini menewaskan Norrie dalam tiga set di Geneva awal bulan ini, menjadikan rekod pertemuan 5-0 memihak kepada dirinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




