Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau tidak mengetahui mengenai kontrak bernilai RM178.29 juta yang dianugerahkan kepada sebuah syarikat dikaitkan dengan adiknya.
Azam berkata, urusan perniagaan adiknya tidak mempunyai kaitan dengan dirinya selepas laporan The Edge Malaysia mendakwa syarikat Integriti Padu Sdn Bhd menerima kontrak selama enam tahun bagi membangunkan serta mengendalikan sistem Caj Jalan dan Permit Kemasukan Kenderaan (RC/VEP) di sempadan Malaysia-Singapura.
Menurutnya, keputusan pemberian projek berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.
“Saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini. Ia adalah perniagaan dia.
“Jadi adakah ini bermakna sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengan saya akan dipersoalkan?
“Saya sudah bersara dan terpulang kepada Kementerian Pengangkutan untuk memberikan projek itu kepada syarikatnya,” katanya kepada New Straits Times.

Azam yang bersara daripada jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 12 Mei lalu turut mempertahankan keluarganya daripada menjadi perhatian hanya kerana hubungan kekeluargaan dengannya.
“DNA keluarga saya semuanya baik. Saya mempunyai seorang kakak yang merupakan pakar telinga, hidung dan tekak yang terkenal di negara ini.
“Adakah ini bermakna dia juga akan menjadi perhatian? Sesiapa yang mahu selamat, jangan dekat dengan saya,” katanya lagi.
Sebelum ini, The Edge Malaysia melaporkan Kementerian Pengangkutan menganugerahkan kontrak bernilai RM178.29 juta kepada Integriti Padu pada 26 Mei selepas permintaan cadangan (RFP) dikeluarkan pada Jun tahun lalu.
Laporan itu turut menyatakan Pengerusi Eksekutif Integriti Padu ialah Datuk Nasir Baki yang merupakan adik kepada Azam.

Syarikat berkenaan dipertanggungjawabkan untuk membangunkan, mengendalikan serta menyelenggara sistem RC/VEP bagi tempoh enam tahun.
Artikel lain: Tak boleh didedahkan! Butiran transaksi saham Azam Baki bukan dokumen awam – Azalina
Azam sebelum ini turut pernah menjadi perhatian susulan kontroversi berkaitan pemilikan saham selepas dakwaan timbul pada penghujung 2021 bahawa beliau memiliki jutaan saham dan waran dalam beberapa syarikat tersenarai ketika berkhidmat sebagai penjawat awam kanan.
Pada Januari 2022, Azam menafikan sebarang salah laku dan menjelaskan saham berkenaan dibeli oleh adiknya menggunakan akaun dagangan miliknya.
Awal tahun ini, beliau sekali lagi menjadi perhatian selepas laporan Bloomberg mendakwa terdapat ketidakaturan berkaitan pegangan sahamnya ketika menerajui SPRM.
Susulan laporan itu, Azam memfailkan saman fitnah bernilai RM100 juta terhadap Bloomberg.




