Doktor AS batalkan misi pembedahan ke Syria, Iraq susulan konflik di Asia Barat

Doktor AS batalkan misi pembedahan ke Syria, Iraq susulan konflik di Asia Barat
Doktor AS batalkan misi pembedahan ke Syria, Iraq susulan konflik di Asia Barat

Misi pakar jantung AS ke Syria dan Iraq terpaksa dibatalkan susulan konflik Asia Barat sekali gus menjejaskan rawatan kanak-kanak berpenyakit jantung – Foto: Agensi

WASHINGTON – Sekumpulan pakar kardiologi dari Cardiac Alliance yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) terpaksa membatalkan perjalanan ke Syria dan Iraq, susulan konflik di Asia Barat, kata ketua pasukan serta pakar bedah jantung pediatrik terkemuka AS, Bill Novick, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Kami sepatutnya berada di Syria ketika ketegangan awal antara Israel-AS-Iran tercetus pada 28 Feb. Ketika itu kami berada di Istanbul dan pesawat kami sudah pun bergerak ke landasan,” kata Novick.

Beliau berkata ketika pesawat hampir berlepas, enjin pesawat dimatikan dan juruterbang mengumumkan mereka akan berpatah balik ke lapangan terbang atas sebab keselamatan.

“Kemudian, barulah kami mengetahui apa yang sedang berlaku,” kata beliau. 

Doktor itu berkata bahawa pasukannya turut merancang untuk ke Iraq pada Mac, namun tidak dapat berbuat demikian.

“Amat sukar untuk membantu kanak-kanak apabila bom sedang berterbangan,” katanya.

Novick tidak menyatakan jumlah sebenar pembedahan yang dirancang pasukannya di Syria dan Iraq, namun Cardiac Alliance lazimnya menjalankan pembedahan ke atas puluhan kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kompleks bagi setiap misi. 

Sebagai contoh, Novick berkata pada Januari beliau dijadual merawat kira-kira 15 pesakit di Syria.

“Saya baru sahaja bercakap melalui telefon dengan pihak Iraq dan mereka mahu menjadualkan semula lawatan itu dari 10 Mei hingga 23 Mei. Tetapi saya tidak tahu apa yang akan berlaku di rantau itu,” katanya.

Cardiac Alliance menghimpunkan ahli perubatan profesional dari pelbagai negara yang menjalankan pembedahan ke atas kanak-kanak serta melatih doktor tempatan di seluruh dunia, khususnya di kawasan bergolak seperti Libya, Iraq, Lubnan dan Republik Demokratik Congo. – Foto: Bernama

 

Scroll to Top