Dollah syukur raih tiga mata

Dollah syukur raih tiga mata

Kuantan: Dollah Salleh lega selepas misi mencatat kemenangan pertama tercapai hasil komitmen tinggi pemainnya ketika menewaskan Sabah FC 2-1, semalam.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kemenangan itu juga membantu pasukan memperbaiki kedudukan selepas mengutip empat mata daripada empat perlawanan. 

“Saya bersyukur pasukan mengutip tiga mata dan banyak perubahan berlaku dalam pasukan berbanding tiga perlawanan sebelum ini. 

“Mungkin sebelum ini tiada keserasian dan masih tercari-cari rentak yang menyebabkan pemain gagal mempamerkan prestasi diharapkan.  Kemenangan ini mengembirakan saya kerana misi mengutip tiga mata tercapai pada perlawanan hari ini (malam tadi). 

“Bagaimanapun, ia belum mencapai tahap saya inginkan tetapi berpuas hati kerana pemain berusaha sepanjang perlawanan,”  katanya. 

Pada perlawanan itu, dua gol Pahang, masing-masing satu dijaringkan Yevhen Bokhashvilli dan Lee Tuck pada minit ke-55 dan 70 manakala gol tunggal Sabah dijaringkan Saddil Ramdani minit ke-80. 

Mengulas tanggungjawab diamanahkan mengendalikan Sri Pahang, Dollah menjelaskan bahawa beliau menjalankan tugasan itu seperti biasa. 

Sementara itu, perasaan kecewa tidak dapat disembunyikan ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto selepas tamat perlawanan.

Kekalahan itu juga yang ketiga berturut-turut dialami Sabah ketika pasukan itu berusaha bangkit untuk memperoleh kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini.  Menurut Kurniawan, beliau sudah mengingatkan anak buahnya bahawa perlawanan yang dihadapi kini bukannya aksi persahabatan. 

“Bukan sahaja saya dan barisan kejurulatihan kecewa, malah pemain juga kecewa kerana gagal mempamerkan prestasi terbaik jika gagal memanfaatkan peluang yang ada.  Tiada guna menyesal kerana ia tidak akan merubah keadaan kerana yang penting ialah untuk kembali bangkit dan meningkatkan semangat pada perlawanan akan datang,” katanya.

Scroll to Top