am@hmetro.com.my
Teluk Intan: Seorang anggota polis berpangkat koperal putus urat di pergelangan tangan kiri, manakala seorang lagi inspektor cedera akibat dilibas parang ketika bergelut dengan penagih dadah di sebuah rumah di Taman Melati Padang Tembak, di sini, semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak cuba menangkap suspek susulan aduan dibuat salah seorang ahli keluarga jam 3 petang.
Menurutnya, ketika anggota polis tiba di rumah terbabit sekitar jam 5.40 petang, lelaki berusia 43 tahun itu menghalang polis daripada masuk bagi membuat pemeriksaan, serta bertindak di luar kawalan dan mengamuk menggunakan sebilah parang sehingga menyebabkan cermin pintu rumahnya pecah.
“Polis memotong kunci mangga rumah terbabit kerana suspek enggan memberikan kerjasama ketika dipujuk. Ketika proses penahanan berlangsung, berlaku pergelutan hingga mencederakan dua anggota polis.
“Pemeriksaan perubatan yang dilakukan di Hospital Teluk Intan, mendapati Koperal Mohd Rasyidi Che Ross luka serta putus urat di pergelangan tangan kiri dan akan menjalani pembedahan, manakala Inspektor Tie Ngie Sieng luka sepanjang empat sentimeter (cm) di tangan kirinya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek hanya mengalami kecederaan luaran dan masih dirawat di hospital sama.
Azizi berkata, hasil pemeriksaan di dalam rumah suspek, polis menjumpai 84.72 gram ganja dan 5.54 gram methaphetamine.
“Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif methamphetmine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 326, 324 dan 186 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




