Dua anggota tentera Israel dipenjara rosakkan patung Jesus di selatan Lubnan

Dua anggota tentera Israel dipenjara rosakkan patung Jesus di selatan Lubnan
Dua anggota tentera Israel dipenjara rosakkan patung Jesus di selatan Lubnan

Insiden itu mendapat liputan meluas dalam kalangan penganut Kristian dunia. – Foto: Agensi

BEIRUT – Dua anggota Pertahanan Israel (IDF) dikenakan tindakan disiplin termasuk dipenjara selepas terlibat dalam insiden merosakkan patung Jesus di sebuah perkampungan Kristian di selatan Lubnan, menurut kenyataan tentera pada Selasa.

Menurut laporan, seorang anggota yang memecahkan patung tersebut menggunakan tukul besi bersama seorang lagi anggota yang merakam perbuatan itu telah digugurkan daripada tugas tempur dan dijatuhi hukuman penjara selama 30 hari.

Siasatan dalaman mendapati kejadian itu berlaku di Kampung Debel, dengan enam lagi anggota tentera berada di lokasi ketika insiden berlaku namun gagal menghalang atau melaporkannya kepada pihak atasan.

“Penemuan siasatan mendapati tingkah laku anggota terbabit jelas menyimpang sepenuhnya daripada arahan dan nilai yang ditetapkan IDF,” menurut kenyataan tentera.

Hasil siasatan itu dibentangkan kepada Komander Divisyen ke-162, Brigedier Jeneral Sagiv Dahan, yang bertanggungjawab ke atas kawasan operasi di selatan Lubnan, sebelum beliau menerima cadangan tindakan disiplin terhadap anggota terlibat.

Selain itu, enam anggota lain yang berada di tempat kejadian telah dipanggil untuk sesi siasatan lanjut bagi menentukan tindakan seterusnya di peringkat komando.

IDF dalam kenyataannya turut menyatakan kekesalan mendalam terhadap kejadian berkenaan.

Insiden itu tular di media sosial pada 19 April lalu, beberapa hari selepas gencatan senjata dicapai antara Israel dan Hizbullah, sekali gus mencetuskan kritikan terhadap tindakan anggota tentera yang didakwa merosakkan harta awam.

Konflik antara kedua-dua pihak memuncak sejak awal Mac lalu.Setakat ini, walaupun gencatan senjata telah berkuat kuasa selama 10 hari, operasi ketenteraan IDF masih diteruskan di beberapa kawasan selatan Lubnan, dengan beberapa insiden letupan dilaporkan. – Agensi

Scroll to Top